Friday 8 March 2013

Menangani keracunan makanan di sekolah


SEJAK Mei lalu, kes mengenai keracunan makanan di sekolah kian menjadi-jadi dan sering
dilaporkan melalui media. Pengambilan makanan mengandungi bakteria berbahaya atau toksin
menjadi puncanya.
Keracunan makanan boleh dikelaskan sebagai tidak serius (seperti sakit perut dan cirit-birit) dan
yang serius (menyebabkan sakit perut, demam, cirit birit dan muntah secara berterusan dan
kadang-kala muntah dan cirit-birit berdarah).
Ada beberapa jenis kuman menyebabkan keracunan makanan dan mencemar makanan yang
bersih. Antaranya ialah Salmonella, E-coli dan Listeria. Kebanyakan kuman ini wujud dalam
makanan berasaskan haiwan seperti daging, ikan, telur dan susu.
Antara tanda keracunan makanan ialah loya, muntah, sakit perut, cirit-birit dan demam. Biasanya
tanda keracunan makanan akan muncul sekurang-kurangnya satu hingga dua jam selepas
makan. Tanda keracunan serius akan muncul dalam masa yang kurang daripada itu. Hampir
semua kes keracunan makanan berlaku selepas mangsa makan di luar rumah dan makanan
berkenaan disediakan secara komersial dan dimasak dalam kuantiti yang besar.
Penyedia makanan tidak mematuhi beberapa peraturan penyediaan makanan untuk orang awam
atau kumpulan. Salah satu set peraturan yang perlu dipatuhi standard Prinsip Am Kebersihan
Makanan dan bagi pengeluar makanan diproses pula Amalan Pengilangan Baik.
Prinsip Am Kebersihan Makanan menggariskan panduan menyeluruh bagi penyediaan makanan
yang selamat. Di antara aspek yang dirangkumi dalam prinsip itu adalah kebersihan premis
penyediaan makanan; kebersihan luaran - bebas daripada semak yang menggalakkan
pembiakan haiwan atau binatang perosak seperti tikus; kebersihan dalaman - tidak mempunyai
jubin yang retak, mempunyai tempat simpanan bahan mentah berasingan dengan makanan yang
siap dimasak.
Sayur-sayuran dan buah-buahan harus disimpan berasingan daripada bahan mentah berasaskan
haiwan seperti daging, telur dan ayam. Aspek lain ialah latihan kesedaran kebersihan bagi
pekerja yang berterusan; kebersihan pekerja – memakai topi, apron dan kuku tangan sentiasa
pendek tanpa cincin. Pekerja yang menyediakan makanan tidak sepatutnya berbuat demikian
sambil membersihkan kawasan kerja dengan penyapu dan mop.
Penggunaan ubat-ubatan, bahan pencuci yang tidak berbahaya kepada makanan seperti
peluntur – klorin; tempat penyimpanan makanan sedia untuk dimakan hendaklah bersih.
Jabatan Standard Malaysia (Standard Malaysia) membangunkan Standard Malaysia (MS) untuk
menyeragamkan keperluan Prinsip Am Kebersihan Makanan.
Arahan oleh Menteri Pelajaran untuk semua susu yang dibekalkan bagi program susu bantuan
mendapatkan `pengesahan Sirim' adalah tidak tepat. Sepatutnya semua pengeluar susu (susu
tepung, dipasteur, disteril, penuh krim, segar atau segera) diarahkan supaya memperoleh
pensijilan Titik Kawalan Kritikan dan Analisis Bahaya (HACCP).
Kementerian Kesihatan khususnya Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, harus
mewartakan di dalam Peraturan Makanan 1985 supaya pengeluar produk tenusu mendapat
pensijilan HACCP. HACCP adalah sistem pengurusan keselamatan makanan dan tajuk Standard
Malaysia (MS) bagi HACCP adalah MS 1480:2007. MS ini dirujuk oleh Kementerian Kesihatan
dan Sirim Qas (anak syarikat Sirim Berhad) untuk mengiktiraf sesebuah premis pengeluaran
makanan/minuman patuh kepada keperluan HACCP. Proses mendapatkan sijil itu memastikan
pemilik sekurang-kurangnya mesti meminimumkan risiko keracunan dan pemilik mempunyai
kaedah penarikan balik dan pelupusan produk tidak selamat daripada pasaran.
Memandangkan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan Guru Besar terbabit di
dalam pemberian tender pengurusan kantin mereka harus memastikan bahawa sekurangkurangnya
keperluan MS 1514:2001 dipatuhi.
Ia memerlukan pemilik dan operator kantin menjalani latihan kebersihan dan pengendalian
makanan, bukan hanya sekali tetapi pada selang masa tertentu (enam bulan sekali atau setahun
sekali) dan tidak kurang daripada sekali setahun.
Pihak yang dinyatakan juga harus mempunyai mekanisme untuk meningkatkan keupayaan
memeriksa operasi kantin serta mengesahkan tahap keselamatan makanan yang dijual di
sekolah.
Kita semua bertanggungjawab dalam menjamin keseluruhan nilai makanan yang diberikan
kepada kanak-kanak sama ada di rumah, sekolah atau di mana-mana saja. Sekolah adalah
tempat menimba ilmu serta melahirkan generasi yang mementingkan kesihatan dan tahu cara
untuk menjaganya. Apa yang sering berlaku di negara kita ialah apabila berlaku sesuatu kejadian
yang meragut nyawa, barulah pihak tertentu bertindak tegas. Sedangkan ia sewajarnya diambil
tindakan sebelum kejadian berlaku!
Rencana sumbangan Persatuan Pengguna Standard Malaysia

1 comment: