Friday 8 March 2013

PERANAN PEMIMPIN INSTRUCTIONAL


Debevoise ( 1984 ) mendefinisikan Kepmpinan Instructional sebagai tindakan-tindakan yang diambil oleh seorang pengetua atau orang yang diturunkuasakan untuk meningkatkan perkembangan pembelajaran pelajar
Mengikut Richardson ( 1989 ), seorang pemimpin instructional mestilah memimpin ke arah pencapaian pelajaran dan menjadikan kualiti instructional sebagai keutamaan teratas dan mestilah mampu menjadikan visi sekolah satu kenyataan.

Sebagai pemimpin kurikulum dan kokurikulum, pengetua dan guru besar adalah bertanggungjawab sepenuhnya bagi menjadikan sekolah mereka sebagai organisasi pembelajaran. Oleh itu, demi menjayakan hasrat tersebut, semua warga sekolah perlu berkongsi tanggungjawab mereka bagi mengukuhkan kepimpinan instructional di sekolah.
Menurut Duke ( 1993 ) kepimpinan instructional melibatkan dalam dua bidang akitiviti yang saling berkait antara satu dengan lain iaitu usaha guru untuk menjadikan pengajaran mereka berkesan dan keupayaan pengetua atau guru besar menjayakan key situations tertentu.
Kebiasaannya pemimpin instructional yang cekap dan berkesan akan memberikan perhatian kepada perkara seperti berikut :

1. Kerja Berpasukan
Sekolah mempunyai organisasi yang jelas dan dibekalkan sumber manusia yang mencukupi. Oleh itu, pengetua dan guru besar perlulah menyusun dan membahagikan tugas atau kerja dalam kalangan orang bawahannya. Sebagai pemimpin mereka hendaklah membimbing dan sentiasa memandu semua guru dan kakitangan melalui kerjasama serta bekerja secara berpasukan untuk mencapai matlamat dan objektif sekolah. Semua pihak perlu melibatkan diri dengan sepenuh hati dan secara bersungguh-sungguh ke arah kecemerlangan akademik dan kokurikulum di sekolah.

2 Perkembangan Staf
Aspek perkembangan staf ini penting kerana bidang kurikulum merupakan suatu yang dinamik dan sentiasa berkembang mengikut peredaran masa. Semua guru perlu didedahkan kepada perkembangan mutakhir dan terkini dalam bidang pendidikan, terutama yang berkaitan dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 16 Januari 2007. PIPP merupakan satu misi nasional yang merintis pembaharuan dalam bidang pendidikan. Pengetua atau guru besar perlu merancang aktiviti perkembangan staf yang akan dilaksanakan sepanjang tahun bagi tujuan meningkatkan ilmu, keupayaan dan kemahiran para guru.

3. Mengutamakan Pencapaian Akademik dan Kokurikulum
Sebagai institusi pembelajaran , pencapaian akademik menjadi agenda utama dan terpenting di sekolah. Pengetua atau guru besar harus merancang dan melaksanakan program-program peningkatan prestasi akademik. Mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha memastikan setiap pelajar dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran asas 3M. Kejayaan dalam bidang kurikulum ini juga perlu selari juga dengan usaha meningkatkan aktiviti kokurikulum. Tumpuan pihak sekolah bagi meningkatkan standard dan kualiti dalam bidang akademik dan kokurikulum akan dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk menjadikan modal insan atau ‘ human capital’ sebagai agenda penting dalam Rancangan Malaysia ke - 9 . Hal ini bermakna semua sekolah di Negara kita hendaklah berfungsi sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dalam menyampaikan ilmu pengetahun, membentuk ketrampilan dan menyemai nilai murni dalam diri pelajar.

4. Pemantuan dan Pencerapan
Kaedah pengurusan dalam organisasi pembelajaran yang paling berkesan ialah melalui kekerapan aktiviti pemantauan dan pencerapan. Pemantauan dan pencerapan hendaklah dijadikan amalan kebiasaan dan budaya di sekolah. Pengetua , guru besar dan guru –guru kanan terlibat secara langsung dalam aktiviti ini. Dengan melihat dan memantau sendiri pengajaran guru di bilik darjah, pentadbir sekolah dapat mengetahui tahap keupayaan dan kebolehan guru-guru dan memudahkan mereka mengambil tindakan penambahbaikan. Maklumat tentang keupayaan dan kebolehan guru tersebut membolehkan pengetua atau guru besar menyediakan program yang sesuai bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Pengajaran yang berkualiti dalam bilik darjah merupakan nyawa kepada sekolah. Kepimpinan ‘instructional’ perlu sentiasa berusaha mencari kaedah yang sesuai atau yang lebih baik bagi membantu guru melaksanakan pengajaran mereka. Mereka bolehlah mendapatkan sokongan daripada guru senior atau guru yang lebih berpengalaman bagi membimbing dan membantu guru baru.

5. Budaya dan iklim Sekolah
Budaya sekolah merupakan suatu sistem sosial yang kompleks. Guru menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada pelajar dalam bilik darjah sebenarnya hanyalah sebahagian kecil daripada sistem sosial di sekolah. Guru bukan sahaja memerlukan suasana bilik darjah yang kondusif dan menarik bagi menyampaikan pengajaran berkesan tetapi juga memerlukan suasana dan persekitaran keseluruhan sekolah yang teratur dan terurus dengan baik. Dengan ini tersandarlah tanggungjawab kepada pengetua dan guru besar untuk membentuk budaya dan iklim sekolah yang baik. Dengan kata lain, budaya sekolah yang baik turut membantu dan menyokong keberkesanan pengajaran guru dalam bilik darjah. Iklim sekolah yang berkesan sering dikaitkan dengan kepatuhan pelajar terhadap peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Cerminan iklim sekolah yang baik itu ialah pelajarnya sentiasa menghargai masa, patuh kepada arahan guru dan sentiasa bersedia mengharumkan nama serta imej sekolah. Iklim sekolah yang baik juga dapat dilihat melalui penyertaan aktif ibu bapa dan NGO.

6. Pengetua dan Guru Besar Sebagai Penyelesai Masalah
Sebagai pemimpin kurikulum atau pemimpin instructional , pengetua atau guru besar hendaklah mendengar semua masalah yang disuarakan kepadanya dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar yang segera. Oleh itu, pengetua atau guru besar hendaklah banyak membaca ,berbincang dan berusaha meningkatkan tahap profesionalisme mereka supaya mudah membantu pihak lain jika perlu. Dengan ini, diharapkan dengan bantuan, sokongan dan peranan mereka sebagai penyelesai masalah atau trouble shooter segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah mereka dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

7. Koordinasi dan Penyelarasan
Koordinasi dan penyelarasan dari segi program, perancangan dan pelaksanaan hendaklah selari dan disesuaikan dengan sumber manusia yang sedia ada iaitu dari segi bilangan dan kelayakan guru, tempoh masa, tempat, jumlah peruntukan kewangan, sokongan perkhidmatan dan perancangan kurikulum. Pengetua atau guru besar perlu merancang dan melaksanakan aktiviti melalui kekuatan dan keupayaan yang sedia ada di sekolah mereka. Setiap sekolah mempunyai persamaan dan perbezaannya sendiri. Oleh itu, koordinasi dan penyelarasan yang dibuat adalah berbeza di antara satu sekolah dengan sekolah yang lain. Berpandukan kekuatan dan kekurangan yang sedia ada , pihak pengurusan mampu membuat perancangan yang lebih baik.

Kesimpulan
Semua perkara yang dinyatakan di atas boleh dijadikan panduan kepada pengetua atau guru besar dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pemimpin instructional. Setelah menyedari hasrat serta harapan tinggi terhadap keupayaan dan keberkesanan sekolah, pihak kepimpinan sekolah hendaklah memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kepimpinan instructional. Sekolah yang berfungsi sebagai institusi pembelajaran diharapkan dapat melahirkan Modal Insan yang berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia serta mampu merealisasikan Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment