Friday 8 March 2013

Program Pembelajaran Menyeluruh Bentuk Sahsiah Sosial Murid


Bermula tahun depan, 550 sekolah rendah di negara ini akan menjadi projek perintis pelaksanaan program pembelajaran secara menyeluruh dengan mengurangkan penekanan terhadap akademik, sebaliknya menambah kegiatan kokurikulum agar pendidikan yang lebih holistik dapat didedahkan pada peringkat usia lebih awal. Kementerian Pelajaran sudah mengenal pasti 50 sekolah rendah bagi melaksanakan program itu tahun ini membabitkan murid Tahun Satu sebagai satu langkah membantu kerajaan membentuk semangat patriotisme bermula di sekolah rendah. Berdasarkan cadangan yang akan dilaksanakan menjelang sesi persekolahan pada 2010 itu, menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menjelaskan kerajaan sudah mengenalpasti sekolah perintis untuk menjalani kajian psikometrik, aptitud dan penilaian dalam bilik darjah dengan harapan murid dapat berfikir dan menerima pendidikan secara menyeluruh dan kritikal serta berkeyakinan menguasai pelbagai bahasa, namun pada masa sama tidak mengenepikan bahasa kebangsaan yang boleh menyatupadukan pelajar berbilang kaum dan agama. Langkah ini juga sejajar dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.
Kita mengalu-alukan pelaksanaan program itu, sekurang-kurangnya akan membantu kerajaan membentuk sikap toleransi dan kebolehan bergaul dalam masyarakat bermula di sekolah rendah yang menjadi elemen penting untuk hidup dalam sebuah negara berbilang kaum. Memang dirasakan rombakan itu tidak terlalu besar kerana ia tidak membabitkan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Walaupun ada pihak termasuk Majlis Guru Besar Malaysia mencadangkan UPSR dihapuskan kerana mendakwa peperiksaan itu membebankan ibu bapa dan murid kerana terlalu fokus terhadap peperiksaan sehingga mengabaikan aspek pembangunan sahsiah dan sosial, dari satu aspek, UPSR masih perlu diteruskan dengan perubahan yang difikirkan perlu untuk menilai prestasi akademik murid selain memberi perangsang dan galakan kepada mereka agar memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik sebagai tiket memasuki sekolah berasrama penuh dan MRSM. Cuma kita dapati di sekolah rendah sekarang terlalu banyak kategori seperti sekolah bestari, sekolah kluster, sekolah premier, sekolah wawasan dan sekolah kawalan. Jadi, sudah sampai masanya klasifikasi ini dihadkan supaya orang ramai mudah faham untuk menjadikannya sebagai penanda aras di masa depan.
Apapun perancangan yang dibuat, kerajaan harus mengambil kira aspek berkaitan keupayaan guru mengajar. Justeru, pada peringkat latihan guru perlu didedahkan dengan kaedah dan sistem pembelajaran baru yang bakal diperkenalkan bagi memastikan mereka tidak menghadapi masalah untuk melaksanakannya di dalam kelas. Kerajaan juga harus mengambil kira asas penting kebolehan murid sekolah rendah dalam tiga aspek utama iaitu membaca, menulis dan mengira. Kita berharap Kementerian Pelajaran bersikap telus dan rasional tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan.

No comments:

Post a Comment