Friday 8 March 2013

Sekolah Selamat


1.            Pendahuluan
Mutakhir ini media massa kita sering membuat liputan tentang keselamatan sekolah yang agak longgar. Aspek fizikal, sosial, emosi dan teknikal digambarkan seolah-olah kurang selamat dan kurang menyakinkan orang ramai. Namun realitinya bukanlah semua sekolah berkeadaan begitu kerana masih banyak lagi sekolah di negara ini berkeadaan selamat dan berfungsi secara efektif.
Walau bagaimanapun kita memangnya sedar tentang wujudnya sebilangan murid sekolah yang berlatarbelakangkan daripada keluarga bermasalah.  Kita juga menyedari faktor-faktor yang negatif yang terdapat di luar persekitaran sekolah yang mampu mempengaruhi watak dan perilaku yang kurang sihat seseorang murid sehingga mencorakkan suasana sekolah yang tidak selamat.
Perubahan dalam iklim pendidikan dewasa ini  telah mewujudkan keperluan mengenal pasti kaedah, strategi dan model program yang mampu mempertingkatkan keselamatan dan kejayaan murid serta guru. Pihak keluarga, sekolah dan komuniti harus bertanggungjawab untuk mewujudkan Polisi Sekolah Selamat.
Bagi merealisasikan polisi sekolah selamat berjalan dengan baik dan terancang, maka segala usaha ke arah meningkatkan keselamatan sekolah dan penghuninya harus dipikul bersama oleh semua pihak. Mengawal keselamatan di sekolah adalah terletak kepada pihak pengurusan sekolah yang bertanggungjawab mewujudkan peraturan-peraturan, latihan-latihan yang berteraskan pendidikan demi mengelak, mengawal dan mengurangkan kemungkinan berlakunya insiden-insiden negatif di kalangan murid.  Manakala di rumah, amalan keselamatan adalah merupakan pengukuhan kepada segala nilai yang diterapkan melalui pengajaran, asuhan dan amalan. Dalam konteks masyarakat yang lebih luas pula, keselamatan adalah merupakan suatu manifestasi bangsa yang berdisiplin, bertanggungjawab, berpengetahuan dan memiliki jati diri yang cemerlang.

2.            Matlamat
Mewujudkan budaya selamat di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan keluarga dan komuniti setempat.

3.            Objektif
i.      Meningkatkan kefahaman mengenai tatacara dalam  menghadapi sebarang isu keselamatan, kecemasan,  kemalangan dan malapetaka.
ii.     Meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap keselamatan dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti sekolah.
iii.     Mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat, selamat dan  menyeronokkan.
iv.    Memastikan hak setiap individu warga sekolah dipertahan  dan dijaga.
v.     Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
vi.    Menyediakan panduan bagi setiap tindakan yang perlu diambil.
vii.   Mewujudkan persekitaran untuk mental dan emosi yang sihat.
viii.   Meningkatkan tahap penumpuan kepada pelajaran dan kerja  di kalangan warga sekolah.
ix.    Menimbulkan rasa lebih mudah dan rela untuk menyumbang secara positif kepada sekolah.

4.            Rasional
i.      Dalam banyak keadaan keselamatan kerap diabaikan dan jarang  dijadikan asas utama pertimbangan.
ii.      Warga sekolah dewasa ini  terdedah dengan isu-isu keselamatan fizikal, sosial, emosi dan teknikal. Justeru, polisi yang berterusan perlu diwujudkan.
iii.     Kurang mendapat kerjasama daripada keluarga dan masyarakat dengan  institusi  pendidikan dari segi keselamatan.
iv.     Keupayaan sekolah dalam menangani isu-isu keselamatan amat terbatas, tanpa sokongan keluarga dan komuniti.

5.            Definisi
Sekolah Selamat didefinisikan sebagai persekitaran sekolah yang selamat di mana warga sekolah merasa selamat tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sama ada dari dalam mahupun dari luar.

6.            ElemenPerancangan Sekolah Selamat
Apabila sesuatu perancangan hendak dibuat mengenai pelaksanaan Sekolah Selamat elemen-elemen seperti di bawah harus diambil kira dan diteliti terlebih dahulu. Pengubahsuaian elemen-elemen yang dicadangkan mengikut keadaan setempat akan menjamin pelaksanaan konsep Sekolah Selamat ini dengan lebih berkesan.
i.       Kesedaran awam atau komuniti.
ii.      Penekanan kepada penghayatan nilai-nilai murni merentasi kurikulum dan kokurikulum.
iii.     Peraturan sekolah.
iv.     Pengurusan bencana alam dan kecemasan.
v.      Kehadiran warga sekolah.
vi.     Membasmi ponteng.
vii.     Pencegahan dadah, rokok dan arak.
viii.    Perkongsian bijak dengan agensi luar.
ix.      Kesedaran sosial dan budaya.
x.       Kepimpinan murid.
xi.      Penglibatan keluarga dan komuniti.
xii.     Program khas bersama komuniti.
xiii.    Pencegahan  jenayah melalui pelan reka bentuk bangunan sekolah yang selamat.
xiv.   Aktiviti kokurikulum dan rekreasi.
xv.    Perkongsian bijak dengan pihak berkuasa tempatan.
xvi.   Mengenal pasti latar belakang warga sekolah.
xvii.   Pembangunan staf.
xviii.  Kawalan keselamatan sekolah.
xix.    Khidmat kemasyarakatan.
xx.     Perkongsian bijak bersama korporat.
xxi.    Perkongsian bijak dengan media.
xxii.    Perkhidmatan kesihatan sekolah.
xxiii.   Pengangkutan.
xxiv.   Perundangan.
xxv.    Penilaian dan pemantauan.

7.            Perancangan
Perancangan bagi mewujudkan Sekolah Selamat akan memberi peluang dan ruang kepada sekolah dan masyarakat sekitar membentuk dan membaca strategi untuk mengatasi isu keselamatan setempat. Bagi melicinkan pelaksanaan Sekolah Selamat, sekolah hendaklah menubuhkan Jawatankuasa Sekolah Selamat (JKSS) yang keahliannya terdiri daripada  wakil sekolah, ibu bapa, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
7.1               Cadangan Keahlian Jawatankuasa
Pengerusi                       :               Pengetua/Guru Besar
Naib Pengerusi            :               Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Setiausaha                     :               KaunselorSekolah/Guru Bimbingan
Ahli-ahli                           :             Wakil ibu bapa
                                                Wakil guru
                                      
             Wakil murid
                                      
              Polis
                                                                JKKK/Rukun Tetangga
                                                                  Jabatan Kebajikan Masyarakat
 Majlis Juvana
                                                         Wakil Persatuan Belia
                                                           Wakil Pejabat Kesihatan Daerah/ Klinik Kesihatan
                                                            Bomba
    
                                                       Penghulu/Ketua Kampung
                                                              Majlis Perbandaran/Daerah
                                                              NGO yang releven
                                                                Individu yang boleh menyumbang
7.2               Fungsi Jawatankuasa Sekolah Selamat
·  Menyediakan kod etika dan tanggungjawab semua warga sekolah
·  Menyediakan kod etika dan tanggungjawab pihak lain (Komuniti, Keluarga)
·  Mempromosi secara aktif kod dan etika kepada semua warga sekolah dan komuniti setempat
·  Mendidik dan melatih guru, kakitangan sekolah dan ahli komuniti akan prosedur keselamatan yang ada
·  Memastikan wujud kesedaran di kalangan semua pihak akan isu Sekolah Selamat
·  Melaksana, menilai dan mengkaji semula semua dasar dan prosedur Sekolah Selamat dari semasa ke    semasa
7.3               Peranan
Warga sekolah, keluarga dan komuniti perlu memainkan peranan masing-masing bagi merealisasikan Polisi Sekolah Selamat. Contoh peranan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut :-
7.3.1   Peranan Sekolah:
i.       Mewujudkan Jawatankuasa Sekolah Selamat.
ii.      Menyediakan Buku Panduan Polisi Sekolah Selamat untuk diedarkan kepada semua warga sekolah dan ibu bapa/penjaga.
iii.      Menguatkuasakan semua peraturan sekolah dengan bersungguh-sungguh dan tegas.
iv.     Memberi penerangan dan salinan peraturan sekolah kepada semua pihak yang memerlukan.
v.      Membantu mewujudkan jawatankuasa disiplin di kawasan setempat.
vi.     Membantu menyediakan pelan tindakan bagi mengatasi masalah keselamatan.
vii.    Mewujudkan pelan pengurusan krisis.
viii.    Mengenal amaran awal kes-kes keselamatan dan bagaimana menanganinya.
ix.      Mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.
x.       Memasukkan unsur-unsur keselamatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
xi.      Menggalakkan murid melaporkan sebarang kes  yang berkaitan dengan keselamatan.
xii.     Merekodkan semua peristiwa mengenai keselamatan.
 7.3.2   Peranan Komuniti :
i.       Melibatkan semua ketua masyarakat dalam proses menjadikan sekolah tempat yang selamat selamat.
ii.       Menyokong semua polisi dan peraturan sekolah.
iii.      Memberi sumbangan material, idea dan kepakaran dalam perkhidmatan mengawal keselamatan sekolah.
iv.      Menerapkan nilai-nilai kerohanian oleh pemimpin agama.
v.       Menyokong dan menjadi ahli dalam pertubuhan yang membantu meningkatkan keselamatan.
vi.      Membantu bagaimana mengenal dan menyelesaikan masalah.
vii.     Melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sekolah.
viii.    Menyatakan had-had tingkah laku yang dikehendaki oleh komuniti.
ix.      Mewujudkan sistem pemantauan kawasan sekitar sekolah bagi mencegah jenayah.
x.       Merapatkan jurang golongan muda dengan warga tua.

7.3.3  Peranan Keluarga
i.        Menyokong semua polisi dan peraturan sekolah.
ii.       Melibatkan diri secara aktif dalam semua aktiviti sekolah dan komuniti.
iii.      Memperkukuh nilai-nilai agama/moral kepada anak-anak.
iv.      Kerap berkomunikasi dengan anak-anak.
v.       Mengenali rakan anak -anak.
vi.      Bekerjasama dengan ibu bapa lain.
vii.     Menjadi ahli dalam pertubuhan yang boleh membantu membanteras isu-isu keselamatan.
viii.    Mendidik anak-anak bagaimana menjaga keselamatan diri.

8.            Harapan dan Tanggungjawab Sekolah Selamat
8.1           Harapan
i.       Bebas daripada sebarang gangguan sama ada dalam bentuk tutur kata atau fizikal.
ii.      Keselamatan harta benda terjamin.
iii.     Orang lain bersikap positif terhadap kebolehannya.
iv.     Mendapat kerjasama orang lain dalam menjalankan tugas.
v.      Tidak dipandang rendah disebabkan oleh keturunan, agama, latar belakang sosioekonomi dan jantina.
vi.     Dilayan secara adil dan saksama.
vii.    Dihormati dan dihargai.
viii.   Bebas daripada sebarang kemalangan, kecederaan dan penyakit.
               
8.2            Tanggungjawab
                                 Di Sekolah Selamat seseorang itu seharusnya
i.       Bebas daripada sentimen perkauman dan diskriminasi jantina.
ii.      Bersikap positif terhadap orang lain.
iii.     Menghargai perbezaan yang wujud.
iv.     Bersikap dan bertindak adil.
v.      Memberi kerjasama dan bantu membantu.
vi.      Mengamalkan kesopanan dan kesusilaan.
vii.     Elakkan sebarang kejadian kekerasan, sentimen perkauman dan perbuatan sumbang tanpa dihalang.
viii.    Datang ke sekolah dengan niat yang betul dan ikhlas.
ix.      Jangan mendera fizikal, mental dan emosi.
x.       Melaporkan setiap kes.      

9.            Tatacara Pengurusan Polisi Sekolah Selamat
Berikut adalah prinsip-prinsip dan tatacara untuk menangani sebarang isu keselamatan
9.1.              Prinsip
i.         Setiap aduan hendaklah diambil perhatian serius.
ii.        Setiap aduan hendaklah diambil tindakan serta merta.
iii.       Perasaan setiap orang yang terlibat harus diambil kira.
iv.       Semua pihak yang terlibat dengan aduan hendaklah dilayan secara adil/saksama dan tidak ada pihak yang teraniaya.
v.       Sesuatu kes tidak dianggap selesai selagi kedua-dua pihak belum berdamai dan diterima semula oleh warga sekolah.
vi.       Maklumat tentang dasar dan tatacara seharusnya mudah dirujuk.
vii.      Tatacara seharusnya boleh difahami oleh semua pihak yang terlibat.
9.2   Tatacara Membuat Aduan
Sesiapa yang ingin membuat aduan, dia atau ibu bapa/penjaga atau wakil boleh memilih satu atau beberapa tatacara berikut :-
i.        Berbincang terus dengan pihak yang terlibat.
ii.       Dapatkan khidmat orang tengah yang sesuai contohnya kaunselor.
iii.      Berjumpa dengan Pengetua/Guru Besar atau wakilnya untuk memastikan aduan itu disiasat.  Jika aduan itu terbukti, hukuman yang setimpal dikenakan dan dimaklumkan kepada pengadu.

10.          Penutup
Apabila jenayah, dadah dan keganasan di luar sekolah mula menular ke dalam sekolah maka tugas menyediakan persekitaran yang selamat untuk pembelajaran menjadi bertambah sukar.  Sesungguhnya menjadi harapan Kementerian Pendidikan Malaysia agar semua pihak menyambut baik konsep Sekolah Selamat untuk dilaksanakan di semua sekolah di seluruh negara agar institusi pendidikan di Malaysia dapat berfungsi sebagai tempat mendidik serta menimba ilmu tanpa gangguan fizikal, mental dan emosi.
Seterusnya masalah-masalah seperti merasa tidak selamat, takut, bimbang, risau, takut membuat aduan, terancam, dibuli, tertekan, tidak menyeronokkan, tidak selesa, benci, melarikan diri dari alam  persekolahan dan sebagainya yang selama ini menghantui perasaan dan pemikiran sebilangan warga sekolah, ibu bapa serta penjaga dan masyarakat seharusnya dapat dicegah dan ditangani. Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha untuk membangunkan kesedaran terhadap aspek keselamatan, bermakna kita telah mengabaikan tanggungjawab untuk melahirkan iklim sekolah yang  tidak kondusif.







No comments:

Post a Comment