Friday 8 March 2013

Keburukan Dan Kelemahan Penggunaan Satelit


Kandungan 
















1.0 Pendahuluan 

Malaysia telah mencipta sejarah dalam bidang angkasa lepas apabila satelit pertama negara, measat 1, telah dilancarkan pada 12 Januari 1996 ke orbit melalui pusat angkasa lepas Arianspace, Kourou,French Guyana, Amerika Selatan. Satelit itu dilancarkan dengan menggunakan Roket Ariane model 44L penerbangan VS2 bersama satelit Amerika Syarikat, PAS 3R dan akan berada di slot orbit 91.5 darjah timur (Asfarina 2000). Measat 1 ini dilengkapi dengan transponder lima ku-band dan 12-C ku-band akan digunakan untuk pancaran audio dan video sementara C-band hanya berupaya menyalur pancaran data dan audio (Asfarina 2000). Ia merupakan satelit komunikasi (penyiaran dan telekomunikasi) yang berupaya untuk menjadi nadi penyaluran maklumat negara. Ia juga dijangka akan mengambil alih tugas beberapa satelit negara lain seperti Palapa, Intelsat dan talappa. 

Dengan kehadiran Measat 1 ini, ia adalah diharapkan mampu untuk mengurangkan penggunaan satelit negara lain selain mengurangkan pengaliran mata wang ke negara luar. Malahan, perkhidmatan Measat 1 mampu memungkinkan sistem rangkaian telekomunikasi yang sedia ada dimajukan ke peringkat yang lebih menyeluruh. Operasinya juga penting bagi pengguna di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai rangkaian kabel komunikasi. 

Selain bidang penyiaran, syarikat yang terbabit dalam projek pendidikan turut memanfaatkan kemudahan Measat 1. Kini ini dapat dilihat melalui projek pendidikan jarak jauh antara sesebuah institusi pengajian tinggi tempatan dengan negara luar. Contohnya melalui perjanjian kerjasama antara sebuah kolej swasta dan syarikat pengendalian pendidikan komersil, menubuhkan program pendidikan jarak jauh antara sesebuah institusi yang membolehkan pelajar mengikuti kelas tanpa perlu menghadiri kelas biasa (Asfarina 2000). Walau bagaimanapun terdapat beberapa keburukan yang perlu dilihat di dalam menggunakan satelit di dalam proses pendidikan di negara ini. Diantara keburukan yang wujud di dalam penggunaan satelit di dalam proses pendidikan adalah seperti di bawah: 

1.1 Suasana Pembelajaran 

Teknologi satelit akan mewujudkan sistem pendidikan jarak jauh. Pelajar dari ceruk mana pun akan dapat belajar melalui satelit dari tempat yang jauh. Walaubagaimanapun semasa proses pembelajaran akan wujud gangguan belajar yang disebabkan oleh pelajar itu sendiri. Proses pembelajaran jarak jauh banyak bergantung kepada motivasi pelajar itu sendiri. Ada kemungkinan program pembelajaran akan terhenti. 

Pelajar juga akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pengajar/fasalitator dengan kadar segera apabila wujud masalah di dalam proses pembelajaran (Indrawati 1998). Pelajar harus menunggu pengajar untuk berada pada talian untuk dihubungi. Perkara seperti ini akan mendatangkan gangguan emosi kepada pelajar yang memungkinnya untuk keluar dari program pembelajaran (Indrawati 1998).

Pelajar mungkin merasakan mereka telah faham dengan apa yang dipelajari dan telah mencapai tujuan pembelajaran, sedangkan pengajar masih menganggap tujuan belum tercapai sepenuhnya (Indrawati 1998). Situasi seperti ini akan memberi kesan yang besar kepada pelajar terhadap perkara yang dipelajari. 

1.2 Kesan ke atas nilai-nilai murni 

Nilai-nilai murni adalah aspek yang penting yang cuba diterapkan dalam sebarang proses pembelajaran. Walaubagaimanapun penggunaan satelit dalam bidang pendidikan akan membawa kepada fenomena globasisasi pendidikan. Globasisasi pendidikan ini akan mewujudkan kesan negatif kerana ianya akan mendedahkan pelajar-pelajar kita dengan cara kehidupan Barat. 

Antara isu yang diperkatakan berhubung dengan pembelajaran satelit ini ialah ialah berkenaan dengan bahan-bahan negatif yang terdapat di dalamnya. Terdapat ramai di kalangan ibubapa dan guru-guru yang merasa takut dan bimbang sehinggakan mereka sanggup mengenepikan kepentingan dan manfaat yang sangat besar khususnya dengan penggunaan Internet 

Kehidupan manusia kini dan masa kemuka akan lebih bergantung kepada kemaraan globalisasi. Kebudayaan lama terancam setelah negara-negara membangun meruntuhkan benteng menyekat kemasukan kesenian,kebudayaan, hiburan dari Amerika Syarikat (AS) dan dunia Barat (Sekolah.Com 2000). Baru-baru ini, salah sebuah stesen televisyen satelit di negara kita dikritik hebat kerana dikatakan terlalu banyak menayangkan filem-filem yang tidak menepati aspirasi kebudayaan tempatan (Sekolah. Com 2000). Sekiranya teknologi ini tidak dikawal pelajar akan didedahkan kepada budaya Barat dan Hong Kong yang menyelitkan pelbagai bentuk keganasan, seks dan perilaku yang bukannya terhasil dalam budaya kita (Sekolah. Com2000). Sekiranya televisyen satelit digunakan sebagai media asas pendidikan maka tidak mustahil budaya yang tidak baik ini akan menular dengan lebih berleluasa didalam masyarakat kita. . Memang tidak dinafikan terrdapat pelbagai bahan berunsur negatif, seperti dadah, alkohol, keganasan, seks dan sebagainya. Walau bagaimanapun ianya tidak harus dianggap sebagai satu penghalang yang besar, sehingga kita lupa dan meninggalkan segala kebaikan yang ada. 

1.3 Keupayaan Tinggi 

Beberapa penemuan atau ciptaan baru telah ditemui seperti telefon satelit ,Hubungan (Siaran) Langsung Bilik darjah melalui Rangkaian tak Langsung ('Live Indirect Network Classroom'), Penggunaan tujuarah satelit ke atas kenderaan dan lain lain lagi sememangnya akan menimbulkan pelbagai isu. 
Bagi memenuhi kehendak pengguna yang semakin bertambah dalam bidang komunikasi terutama dalam bidang peralatan multimedia dan lingkungan liputan ianya memerlukan keupayaan tinggi bagi menyediakan alatan bagi rangkaian perhubungan seperti penyediaan tulangbelakang (backbone). Jika dahulu digunakan gentian optik tetapi ianya telah diambilalih oleh teknologi satelit. 

1.4 Kos Yang Tinggi 

Melalui teknologi satelit telah wujud program pendidikan jarak jauh antara sesebuah institusi pengajian tinggi tempatan dengan negara luar. Walaubagaimanapun kos perbelanjaan adalah tinggi di dalam penggunaan satelit untuk proses pendidikan. Dengan terciptanya revolusi teknologi tanpa wayar telah membawa kepada isu mengenai kos yang tinggi. Kos yang terlibat bukan sahaja dalam penyelidikan tetapi kos bagi menganti peralatan yang sedia ada. Sedangkan peralatan yang sediaada masih boleh digunakan dan masih belum digunakan sepenuhnya (fully utilised). Isunya ialah wujud pembaziran dan pemindahan pengantian yang tak perlu dilakukan dalam masa yang terdekat. 

Menurut Asfarina (2000) yuran penggunaan transponder yang dikenakan ialah di antara RM 4 Juta dan RM 4.75 juta (c-band) dan RM12.5 juta (Ku-band) setahun. Kos yang tinggi akan mendatangkan beban kepada masyarakat sekiranya impak pembelajaran tidak sampai kepada matlamat yang hendak dicapai. Menurut Asfarina (2000) lagi keupayaan Measat 1 masih dalam tanda tanya memandangkan syarikat yang berurusan dengannya dalam program pendidikan jarak jauh ini terpaksa menanggung risiko sekiranya satelit itu gagal berfungsi sepenuhnya kerana Malaysia masih setahun jagung dalam arena tersebut. 

1.5 Kos Pembiayaan dan Gunatenaga Penuh 

Dengan terciptanya revolusi teknologi tanpa wayar telah membawa kepada isu mengenai kos yang tinggi. Kos yang terlibat bukan sahaja dalam penyelidikan tetapi kos bagi menganti peralatan yang sediaada. Sedangkan peralatan yang sediaada masih boleh digunakan dan masih belum digunakan sepenuhnya (fully utilised). Isunya ialah wujud pembaziran dan pemindahan pengantian yang tak perlu dilakukan dalam masa yang terdekat. 

1.6 Keselamatan dan kerahsiaan 

Keselamatan juga merupakan satu lagi isu yang berbangkit daripada penggunaan komunikasi satelit berbanding dengan penggunaan gentian optik yang dianggap lebih selamat dari segi kerahsiaannya. Sungguhpun beberapa sistem telah di rekacipta bagi menjamin keselamatan dalam penghantaran data,namun sehingga kini sistem berkenaan belum lagi dapat dibuktikan akan keselamatannya seratus peratus. Kelemahan ini mengakibatkan kurang minat bagi penggunaan di sektor ketenteraan dan perniagaan yang memerlukan maklumat-maklumat sulit berkait dengan strategi dan perancangan terdedah kepada pihak lain terutama saingan masing-masing. Kerahsiaan dan keselamatan maklumat adalah menjadi aset utama mereka di setiap peringkat. 

1.7 Kelajuan Akses 

Prestasi dari segi kelajuan juga merupakan isu kepada teknologi tanpa wayar. Walaupun beberapa kemajuan dicipta dalam menangani masalah kelajuan dalam teknologi tanpa wayar tetapi masih belum dapat menandingi kelajuan yang ditawarkan oleh gentian optik atau komunikasi berwayar terutama dalam bandwidth . Kelebihan pada teknologi tanpa wayar adalah bagi hubungan jarak jauh. 

1.8 Kesihatan 

Kesihatan juga merupakan isu kepada penggunaan komunikasi satelit. Isu-isu yang berkaitan dengan masalah kesihatan dengan penggunaan komunikasi tanpa wayar dikaitkan dengan masalah ketumbuhan otak, sakit kepala dan punca kelesuan, tetapi masih belum dapat dibuktikan. Telah dibuktikan bahawa ianya memberi kesan kepada penggunaan kepada peralatan perubatan seperti pacemaker. Sungguhpun begitu tiada pihak yang tampil untuk mendakwa bahawa penggunaannya tidak memberi kesan kepada kesihatan manusia.

1.9 Kesesakan Talian 

Sebagai contoh, masalah kesesakan di JARING ,satu-satunya pembekal perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia telah diperkatakan sebelum ini dengan aduan-aduan pengguna bahawa kapasiti talian tidak mencukupi dengan pertambahan beribu-ribu pelanggan serta 'data transmission' yang perlahan.
Masalah tersebut dijangka meningkat dengan pertambahan pengguna daripada lebih kurang 50,000 orang kepada 100,000 orang akhir tahun ini dan 500,000 pada penghujung tahun 1997. Masalah ini sedang diatasi oleh MIMOS dengan menambahkan 100 'nodes' dalam 18 bulan pertama dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000) di mana struktur super Jaring akan mempunyai peningkatan tulang belakang lebar jalur kebangsaan sehingga 34/48 Mbps, dan tambahan keupayaan antarabangsa kepada T3/E3 (Berita Harian 1996).
Ini adalah langkah penyelesaian bersifat sementara kerana dalam beberapa tahun akan datang jumlah pengguna akan meningkat lagi menyebabkan masalah baru timbul di samping keperluan menaikkan taraf keupayaan struktur Jaring selaras dengan perkembangan teknologi maklumat terkini. 

1.10 Penglibatan Menyeluruh 

Dari perspektif pengguna, harus mengambil kira soal ekuiti sosial dengan matlamat mengupayakan semua lapisan pengguna tidak kira status sosio-ekonomi mereka agar sama-sama dapat menikmati manfaat hasil penggunaan satelit ini. . Dalam hal ini, pelajar-pelajar, kumpulan kurang upaya dan cacat anggota merupakan golongan pengguna yang perlu diambilkira dalam melaksanakan 'multi-tiered rate' berhubung dengan penggunaan komunikasi ini. Ini kerana dalam usaha mewujudkan masyarakat Malaysia yang kaya maklumat tidak harus timbul jurang perbezaan yang luas di kalangan rakyat termasuk pelajar dalam menikmati kemudahan komunikasi satelit. 

1.11 Penyeliaan 

Dalam menimbang untuk memperluaskan kemudahan Internet kepada lebih ramai pelajar dan guru, Kementerian harus mengenalpasti sama ada kaedah yang digunakan untuk mengawal-selia penggunaan di sekolah-sekolah sehingga kini berkesan atau sebaliknya. Pihak sekolah, terutamanya guru-guru yang bertugas mempunyai akauntabiliti untuk menyimpan rekod penggunaan khususnya melalui talian Internet di makmal komputer sekolah dan membuat sistem laporan yang lengkap merangkumi nama-nama penggunanya, tujuan penggunaan, masa penggunaan, dan penyelia yang bertugas. Pada dasarnya sekolah-sekolah hendaklah menyediakan panduan dan peraturan untuk penggunaan oleh murid-murid, dan menyatakan dengan jelas tindakan yang akan diambil akibat pelanggaran peraturan. 

Dengan perkataan lain, etika hendaklah dimasukkan ke dalam kurikulum komunikasi dan penggunaan internet. Dengan adanya peraturan-peraturan seperti ini, pihak sekolah dan akhirnya Kementerian Pendidikan mempunyai asas untuk menyoalsiasat kes-kes penyalahgunaan kemudahan yang dikendalikan di bawah jagaannya. Walau bagaimanapun, pengawalseliaan haruslah disepadankan dengan usaha menjadikan pembelajaran menerusi satelit menjadi sesuatu yang menyeronokkan supaya tidak timbul 'budaya takut' di kalangan murid-murid akibat 'overregulation' oleh pihak sekolah. 

Sebagai pembimbing, guru-guru dipertanggungjawabkan membimbing pelajar-pelajar bagi mendapatkan maklumat yang berguna sementara memainkan peranan mereka sebagai ‘penjaga pintu’ kepada aliran maklumat yang tidak terbatas. Mereka harus mempunyai daya fikir yang tinggi, kuasa membezakan (power of discrimination) maklumat yang baik dan buruk serta dapat mengembangkan minda pelajar agar tidak pasif dan membuta tuli. Ini adalah selaras dengan wawasan kerajaan untuk mengwujudkan peluang-peluang untuk membangunkan minda murid-murid dalam pendidikan, kemahiran kreatif, pembangunan intelektual termasuk kesihatan. 

Dengan penggunaan satelit di dalam sistem pendidikan di negara ini beban guru akan bertambah. Proses penyeliaan adalah agak rumit bagi memastikan setiap pelajar yang telibat dengan sistem pembelajaran ini akan mendapat maklumat yang diperlukan. 

1.12 Pembinaan Sahsiah dan Akhlak 

Persoalan mungkin timbul sama ada pendedahan kepada maklumat melalui penggunaan satelit semestinya dapat melahirkan satu generasi pelajar yang bukan sahaja bermaklumat, tetapi berakhlak mulia dan bermoral tinggi. Atau lebih jauh lagi sama ada ia dapat mencapai matlamat Dasar Pendidikan Negara: ".....Melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara". Apakah peranan dan sumbangan pendidikan melalui satelit ini ke arah mencapai matlamat pendidikan dan sosial dalam menuju Wawasan 2020? Apakah perancangan dari segi isi kandungan (contents development) menjurus kepada matlamat Dasar Pendidikan Negara? 

Para perancang program pendidikan di Kementerian Pendidikan tentulah lebih arif dan telah meletakkan prioriti yang betul untuk memilih dan mengasingkan "web sites" yang dirasakan lebih sesuai untuk rujukan tanpa menjejaskan kandungan maklumatnya. Begitu juga dalam hal pilihan mereka melanggan kiosk pendidikan dan perkhidmatan pembekal maklumat luar negara khususnya melalui Internet. Ini bermakna pendidikan berasaskan satelit , seperti juga kurikulum sekolah yang ada, "terpaksa" merujuk kepada Dasar Pendidikan Negara termasuk falsafah pendidikan negara jika Kementerian bertegas untuk mencapai matlamatnya. Dalam keadaan sekarang di mana penggunaan satelit di sekolah masih di peringkat percubaan dan belum ada penilaian menyeluruh dibuat, masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada ianya telah memberi impak yang signifikan kepada para pelajar. 

2.0 Kesimpulan 

Walaupun terdapat banyak kebaikan di dalam penggunaan satelit untuk proses pembelajaran di negara ini tetapi para pendidik perlu menerima hakikat bahawa terdapat juga banyak keburukan dalam penggunaan satelit di dalam sistem pendidikan. Keburukan ini boleh dijadikan sebagai sempadan dan panduan untuk masa akan datang sekiranya satelit ini hendak diterapkan dalam proses pendidikan di negara ini.

Rujukan

Berita Harian. 1996. 4 April.

Dayang Asfarina. 2000. Measat 1, satelit pertama negara. (atas talian)

http://www.isarawak.com.my/teenager/measat.htm ( 1 Februari 2001)

Indrawati. 1998. Pendidikan Jarak Jauh "On-Line", Sebuah Alternatif. (atas talian)
http://www.suarapembaruan.com/News/1998/10/081098/OpEd/op04/op04.

html ( 1 Februari 2001)

Sekolah. Com. 2000. Penularan budaya songsang. Mana silapnya? (atas talian)

http://www.sekolah.com/article/?show=1&row=0055 ( 1 Februari 2001)

(kembali ke atas)

No comments:

Post a Comment