Friday 8 March 2013

Isu Gengsterisme di Sekolah Malaysia


1.0       Pendahuluan
Pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

            Demikianlah murninya hasrat dan semangat Falasafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Pendidikan negara bermatlamatkan dan memfokuskan penjanaan warganegara yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada diri masing-masing, masyarakat dan negara. Maksud yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu diterjemahkan dalam Misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan menjadi asas kepada usaha ke arah peningkatan dan pengukuhan sistem pendidikan negara bertaraf dunia. Fokus yang mendasari matlamat utama ini ialah pengembangan potensi pelajar pada tahap optimum.

            Pencapaian matlamat utama pendidikan itu amat bergantung pada kewujudan iklim sekolah yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Menyedari hakikat ini, maka Kementerian Pendidikan sentiasa memberi penekanan kepada kepentingan pengukuhan disiplin pelajar dengan menyediakan berbagai-bagai panduan, peraturan dan dasar disiplin yang dikuatkuasakan di sekolah-sekolah. Dalam masa yang sama semua Jabatan Pelajaran Negeri dipastikan mengawal dan membendung pembabitan pelajar dalam sebarang kegiatan berbentuk negatif. Pendekatan-pendekatan tertentu telah dilaksanakan untuk melahirkan suasana kondusif bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

2.0       Definisi Operasi
2.1              Kumpulan gengster bermaksud kumpulan seminat yang dianggotai oleh ahli-ahli yang berkecenderungan melakukan perlakuan negatif atau pelbagai salah laku dan penubuhannya melibatkan upacara ritual. Ahli-ahlinya diikat dengan peraturan dan undang-undang yang ketat dan kumpulan ini umumnya bergerak secara sulit, dan, mempunyai seorang ketua yang mengetuai perancangan dan pelaksanaan program dan aktivitinya. Sementara itu kumpulan samseng merupakan kumpulan seminat yang dianggotai oleh samseng-samseng yang berkecenderungan melakukan perlakuan negatif atau pelbagai salah laku. Ahli-ahlinya diikat dengan peraturan-peraturan dan undang-undang yang longgar. (Dr.Amir Mohd Selleh, 1999).

2.2              Gengsterisme di sekolah bermaksud kewujudan kumpulan gengster yang melibatkan para pelajar sekolah harian sebagai ahlinya sama ada sebagai ahli aktif atau penyokong sesuatu kumpulan dalam melakukan salah laku dan pelanggaran disiplin dan undang-undang. ((Dr.Amir Mohd Selleh, 1999). Kumpulan pelajar yang terlibat dalam kumpulan gengster dan samseng terdiri daripada pelbagai jantina, etnik, umur, peringkat persekolahan dan jenis tempat kediaman mereka.

2.3              Disiplin secara amnya boleh didefinisikan sebagai latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri. (Kamus Dewan, 1984). Laporan Jawatankuasa Kabinet mengenai Pelaksanaan Dasar Pendidikan (1979) menyebut disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu menghormati undang-undang, bekerja mengikut tatatertib, menghormati hak individu, mengamalkan tingkah laku yang baik, saling menghormati, tolong -menolong dan membaiki keadaan dalam usaha membina.

2.4              Moral pula merujuk segala tingkah laku manusia yang berkaitan dengan apa-apa yang betul atau salah, baik atau buruk dan apa-apa yang kita harus buat dan apa-apa yang kita harus elakkan. Moral juga berkaitan dengan cara manusia berinteraksi antara satu sama lain,  dan bagaimana tingkah laku mereka mempengaruhi perasaan dan kepentingan orang lain. (Iheoma, 1986)

2.5              Akhlak ialah suatu daya kemampuan iradah yang bersifat tetap dalam diri manusia yang melahirkan rasa cenderung untuk memilih perlakuan yang baik dan lurus (jiwa akhlaknya baik) ataupun cenderung untuk memilih perlakuan yang jahat dan buruk jika akhlaknya jahat. (Mohd Sulaiman Haji Yasin, 1992)


3.0       Persoalan
Persoalan yang berkait dengan isu gengsterisme di sekolah amat banyak dan memerlukan kajian untuk menyelesaikannya. Antaranya sebagaimana senarai berikut :-

3.1  Sejauh manakah tahap kegiatan gengsterisme wujud di sekolah-sekolah di Malaysia? Adakah kegiatan gengsterisme merupakan gimik atau sememangnya realiti yang sedang dihadapi oleh sekolah-sekolah di Malaysia.

3.2  Siapakah kumpulan pelajar yang sering terlibat dengan kumpulan gengsterisme? Apakah latar belakang mereka?

3.3  Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kewujudan kumpulan gengster di sekolah?.

4.0              Sumber Aktiviti Gengsterisme

4.1   Kertas Penyelidikan Kementerian Pendidikan  Malaysia (Sekarang
        Kementerian Pelajaran Malaysia)

            Menurut sumber Unit Penyelidikan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan Oktober 1999 (lampiran disertakan) terdapat 13 jenis salah laku jenayah yang sering melibatkan pelajar kumpulan gengsterisme mengikut respons Pengetua dan Guru (rujuk lampiran 1 dan 2) di sekolah seperti berikut :- berjudi, mencuri, melawan guru, melawan pengawas, memeras ugut, membuli, kes pelacuran, kes salah guna dadah, membawa senjata, mencabul kehormatan, mengancam murid,  mengugut guru dan menceroboh.

Sementara itu terdapat 5 salah laku lucah yang sering melibatkan kumpulan gengster di sekolah mengikut respons Pengetua dan Guru (rujuk lampiran 3 dan 4) sebagaimana senarai berikut :- berkhalwat, mengintai murid perempuan, membawa bahan lucah, menggunakan kata lucah dan melukis gambar lucah.

4.3  Majalah
            Sementara itu bilangan kes pelajar yang terlibat dengan perlakuan gengster dan membakar premis sekolah dari tahun 1987 hingga 1999 menurut sumber Kementerian Pendidikan Malaysia  seperti yang dilaporkan oleh Majalah Massa (Ogos 2000) adalah seperti jadual berikut :-

Jadual Kes Pelajar Yang Terlibat Aktiviti Gengster

dan Membakar Premis Sekolah


Jenis Kes
1997
1998
1999
Kes Samseng
107
77
85
Membakar Premis Sekoalah
6
19
10

Sumber : Majalah Massa (Ogos 2000)

4.3              Akhbar
Akhbar-akhbar tempatan juga sering melaporkan kejadian jenayah dan gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah. Berita Harian pada 13 Julai 2000 mengutarakan isu gengsterisme berlaku berpunca daripada kejahilan agama dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah. Hal ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh persekitaran yang banyak mendorong kepada keruntuhan moral dan kemusnahan jati diri dan akhlak.

Berdasarkan laporan di atas kita mendapati bahawa aktiviti kumpulan gengster di sekolah agak menyeluruh dalam pelbagai kegiatan.Hakikat ini merupakan satu fenomena yang kurang sihat terhadap iklim pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah di negara kita. Masalah serius atau tidak sesuatu salah laku itu bukan menjadi pokok perbincangan tajuk ini. Penulis tidak akan menghuraikan satu persatu sesuatu kes gensterisme di atas. Salah laku melawan guru termasuk mengugut, merosakkan harta benda guru sering berlaku. Baru-baru ini akhbar harian melaporkan kes pencerobohan dan pembakaran bilik guru disiplin, mengancam guru dengan menghantar peluru hidup dan sebagainya. Apa yang mencemaskan,  kewujudan salah laku tersebut walaupun satu kes boleh menjejaskan iklim persekolahan dan mengganggu pelbagai peringkat proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

5.0       Andaian dan Pendapat Awal Perlakuan Gengsterisme
Pelbagai andaian dan faktor yang membawa kepada wujudnya aktiviti-aktiviti salah laku dalam kalangan pelajar dalam bentuk gengsterisme ini. Antaranya boleh kita senaraikan sebagaimana berikut :-

5.1   Pelajar-pelajar yang terlibat dengan pelbagai salah laku di atas merupakan mereka yang kurang mendapat pendidikan agama dan moral serta bimbingan ibu bapa di rumah. Ibu bapa yang bekerja tidak dapat meluangkan masa secukupnya untuk bermesra dan membimbing anak-anak dengan didikan agama yang sewajarnya. Tanggungjawab itu diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah.

5.2   Pengaruh media masa dan arus perdana globalisasi serta tamadun materialistik masa kini amat banyak mencetus krisis nilai. Majalah-majalah hiburan yang tidak bermoral dan beretika berleluasa di pasaran. Filem-filem ganas dan unsur seks yang ditayangkan di televisyen secara bebas memberi kesan ke atas pembentukan pelajar. Pelajar-pelajar menjadi keliru dan tidak tahu memilih maklumat yang terbaik untuk membina kehidupan mereka. Mereka sering tenggelam dalam arus keruntuhan akhlak dan moral lantaran tidak memiliki daya tahan spritual. Menurut Prof. Dr.Yusof al-Qardhawi ( 1999 ) , kesan yang paling menonjol akibat daripada tamadun hari ini ialah terungkainya ikatan akhlak. Dengan ini lahirlah masyarakat yang tidak ada kepimpinan diri dan akhlak. Keadaan ini akhirnya akan mendedahkan manusia kepada pelbagai krisis dan gejala yang antaranya berlaku dan mempengaruhi remaja-remaja kita yang cenderung untuk melakukan pelbagai kegiatan jenayah di sekolah yang akhirnya membawa kepada kewujudan kumpulan-kumpulan gengster dalam pelbagai salah laku jenayah di sekolah pada hari ini.

5.3      Pengaruh persekitaran seperti pusat-pusat hiburan, kafe siber, kedai-kedai permainan video dan berbagai-bagai pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan tanpa penguatkuasaan undang-undang telah menambahkan kemelut dan keruntuhan akhlak dan moral sehingga akhirnya membawa remaja dan pelajar terlibat dengan aktiviti jenayah dan kumpulan samseng atau gengster.

5.4      Pelajar-pelajar kemungkinan mempunyai sifat semula jadi yang suka memberontak dan melanggar peraturan-peraturan sekolah dan peraturan-peraturan lain termasuk menjadikan diri mereka sebagai tumpuan ramai khususnya dalam kalangan rakan sebaya.

5.5      Pelajar-pelajar yang memperoleh pencapaian yang rendah dalam bidang akademik dan gagal menjadikan diri mereka sebagai sebahagian daripada ahli masyarakat sekolah masing-masing kemungkinan cenderung untuk melakukan jenayah.

5.6      Pelajar-pelajar yang mempunyai ahli keluarga dan jiran yang telah  menjadi ahli kumpulan gengster dan mempunyai pengaruh kuat ke atas pelajar itu termasuk pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan-kawasan kediaman yang mempunyai kumpulan gengster dan samseng yang bergerak aktif. 

Berasaskan pelbagai andaian dan faktor yang dibincangkan ini penulis ingin menumpukan kepada satu faktor sahaja yang merupakan asas atau punca kepada pelbagai faktor yang lain. Pada pendapat penulis faktor pertama, iaitu pendidikan di rumah oleh ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk generasi pelajar dan tingkah laku mereka sama ada di sekolah atau di mana-mana sahaja. Pendidikan agama dan akhlak perlu diberi oleh ibu bapa kepada anak-anak terlebih dahulu sebagai persediaan awal untuk membina keperibadian dan sahsiah individu berkenaan ke arah akhlak yang mulia.

6.0       Perbincangan
Wujudnya fenomena semasa yang menunjukkan bertambahnya perlanggaran disiplin dan gejala salah laku dalam kalangan pelajar telah menimbulkan pelbagai pertanyaan umum tentang kesesuaian dan keberkesanan dasar dan peraturan yang digunakan untuk pengukuhan disiplin pada peringkat sekolah. Dalam konteks ini satu daripada perkara yang sering dikaitkan dengan perlanggaran disiplin dan gejala salah laku ialah kewujudan unsur gengsterisme dan aktiviti kumpulan samseng di sekolah. Hari ini kes pelajar terlibat dengan kegiatan jenayah dianggap sebagai fenomena biasa. Berita salah laku dan penglibatan dalam kegiatan jenayah bukan lagi bahan panas untuk diperkatakan. Apabila masyarakat telah jemu memperkatakannya isu itu akan hilang begitu sahaja seperti isu-isu lain yang dianggap kontroversi, tetapi yang menanggung kesannya ialah ibu bapa dan pihak sekolah. Pelbagai teori dan andaian telah dikaitkan dengan kewujudan kumpulan samseng ini, antaranya pengaruh media massa, pengaruh perbandaran atau urbanisasi yang semakin cepat menular di kawasan luar bandar, pengaruh metarialisme yang semakin meningkat, fahaman kebebasan individu untuk perlu dihormati, pengaruh rakan sebaya, krisis nilai, ceteknya pengayatan agama dalam diri individu, kurangnya perhatian dan bimbingan ibu bapa terhadap anak-anak di rumah dan lain-lain lagi.

            Perlanggaran displin dan perbuatan salah laku dalam kalangan pelajar bukan sahaja berlaku secara meluas  di kawasan bandar dan pinggir bandar tetapi kini menular juga di sekolah-sekolah luar bandar termasuk di kawasan-kawasan  Felda, Felcra serta kawasan-kawasan perkampungan. Senario ini menunjukkan ‘trend’ perlanggaran disiplin dalam kalangan pelajar meningkat secara mendadak dan membimbangkan walaupun bilangan pelajar yang terlibat masih terlalu kecil. Dalam masa yang sama juga kes penglibatan pelajar-pelajar perempuan semakin bertambah.

            Isu gengsterisme ini merupakan satu perkara yang amat mencabar kesabaran dan kecekalan pihak pengurusan sekolah, kebolehan guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran, kebolehan kaunseling dan pengawalan oleh guru-guru disiplin sekolah. Masalah ini merupakan suatu isu dari perspektif pendidikan yang perlu diselesaikan segera secara menyeluruh. Dalam konteks negara, gejala ini merupakan suatu jenayah yang mencabar pihak polis untuk membendungnya.

            Banyak faktor yang menjurus kepada isu gensterisme di sekolah. Namun di sebalik faktor-faktor tersebut ada satu faktor utama yang menjadi kunci kepada faktor-faktor yang lain. Faktor utama tersebut ialah kurangnya bimbingan dan asuhan agama oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka di rumah. Masalah ini bukan sahaja terbatas kepada pelajar-pelajar Muslim sahaja, bahkan melibatkan pelajar-pelajar bukan Muslim. Di sebabkan kekurangan asuhan dan bimbingan di  rumah, maka anak-anak kurang mempunyai daya tahan dalam menghadapi cabaran dan rintangan hidup. Mereka mudah terpengaruh oleh persekitaran, rakan sebaya, media massa, internet, gaya hidup yang mengejar keseronokan dan hiburan, materialistik dan sebagainya. Keadaan ini akhirnya menjurus kepada pelbagai gejala jenayah dan salah laku. Di sekolah , kewujudan kumpulan-kumpulan samseng atau gengster yang sering melakukan jenayah  telah mengganggu ketenteraman dan mencemar iklim persekolahan. Sehingga kini gengsterisme menjadi isu hangat yang perlu ditangani segera.

7.0  Cadangan dan Penyelesaian
7.1  Ibu bapa perlu menyedari bahawa anak-anak adalah segala-galanya bagi mereka. Mereka pewaris kepada bangsa dan negara. Oleh yang demikian ibu bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mendapat bimbingan agama dan moral yang secukupnya agar mereka mempunyai keimanan yang mantap dan mampu membentuk keperibadian dan akhlak serta mempunyai daya tahan dalam mengharungi hidup yang penuh dengan rintangan dan cabaran. Keimanan yang mantap akan mencegah diri seseorang darpada perbuatan keji dan mungkar sekali gus menghindar mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti kumpulan samseng dan gengster di sekolah atau di mana-mana sahaja. Firman Allah S.W.T.  yang bermaksud “ sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar” (al-Ankabut : 45) merupakan manifestasi didikan dan bimbingan yang mantap dari rumah.

7.2    Faktor agama dan moral berkait rapat antara satu sama lain dalam membentuk kepribadian dan akhlak serta moral yang tinggi dalam kalangan remaja. Kewujudan suatu kod moral ialah sifat penting bagi semua agama yang utama di dunia. Dalam agama-agama seperti Islam, Kristian, Hindu, nilai-nilai agama terjalin begitu kuat sehingga perbezaan  antara mereka menjadi tidak ketara dan tidak penting. Pendek kata agama dapat memainkan peranan dalam pembentukan akhlak yang baik dan mempengaruhi kelakuan akhlak seseorang individu. (W.P.Yong, 1989) Oleh yang demikian penekanan kepada pendidikan agama amat penting untuk membentuk individu yang seimbang sekali gus menjauhkan diri daripada terlibat dengan aktiviti gengsterisme.

7.3   Hubungan yang rapat antara pihak sekolah dengan ibu bapa, dan antara guru dengan pelajar adalah penting. Guru perlu mendekati pelajar secara peribadi dan memahami masalah yang dihadapi oleh seseorang pelajar tersebut. Dengan cara ini pelajar berasakan mereka dihargai dan pihak sekolah sentiasa mengambil berat terhadap kepentingan mereka. Oleh yang demikian pelajar yang bermasalah tidak segan untuk berbincang dengan guru mereka berkenaan masalah yang dihadapi. Keadaan ini mengelakkan pelajar daripada melepaskan tekanan permasalahan mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam seperti salah laku jenayah dan gengsterisme. 

7.4  Di sekolah pula penguatkuasaan disiplin perlulah tegas dan berterusan. Usaha yang berterusan perlu dilakukan termasuk  mengukuhkan, memperjelas dan menentukan kebolehgunaan surat-surat peraturan dan pekeliling yang berkaitan sejajar dengan perubahan-perubahan persekitaran dan masa. Sistem pengurusan disiplin di sekolah juga perlu berkesan dan ini meliputi rekod individu pelajar, rekod pelanggaran disiplin serta hukuman dan ganjaran.

7.5   Pengawalan kumpulan gengster dan samseng perlu dilakukan secara bersepadu atau melalui kaedah permuafakatan dengan melibatkan semua kumpulan atau pihak, iaitu sekolah, ibu bapa, masyarakat, kerajaan dan penguat kuasa undang-undang. Kerjasama perlu dibentuk melalui satu rangkaian yang jelas dan melibatkan pelbagai aktiviti seperti penyampaian dan penyaluran maklumat tentang sesuatu kegiatan gengster dan samseng yang melibatkan pelajar sekolah harian kepada pihak pengurusan sekolah dan pihak penguat kuasa undang-undang. Kerjasama dalam bentuk perancangan dan penyediaan pelan tindakan secara bersama berdasarkan kefahaman yang jelas untuk mencegah dan membasmi aktiviti geng dan samseng dalam kalangan pelajar. Aktiviti pengawalan dan tindakan bersama juga perlu bagi menghapuskan aktiviti-aktiviti gengster dan samseng di sekolah khususnya tindakan yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang dan disiplin.

7.6   Melemahkan dan menghapuskan faktor-faktor penarik dan penolak yang mempengaruhi pelajar untuk terlibat dalam kumpulan-kumpulan gengster dengan menjadikan sekolah sebagai faktor yang kuat untuk menarik semua kumpulan pelajar agar sayang akan sekolah dengan menyediakan sekolah dan persekitarannya sebagai tempat yang kondusif dan seronok untuk belajar.

7.7   Langkah seterusnya ialah mengawal jaringan aktiviti gengster dan samseng yang melibatkan pelajar dengan menyediakan pelan tindakan dan melaksanakannya secara bersama melalui tindakan berkesan. Antaranya pihak sekolah harus menentukan bahawa pelajar-pelajar tidak melepak sama ada pada waktu persekolahan atau pada masa di luar waktu persekolahan kerana ini akan mendedah pelajar kepada pelbagai pengaruh yang tidak sihat. Selain itu, pihak pengurusan sekolah perlu menyediakan satu sistem kawalan mencegah ahli-ahli kumpulan gengster dan samseng daripada menjadikan pelajar-pelajar sebagai mangsa dalam masa tiga waktu utama, iaitu sebelum persekolahan, semasa rehat dan waktu selepas tamat sesi persekolahan harian.

8.0       Penutup
            Kemunculan kumpulan gengsterisme di sekolah telah membimbangkan semua pihak. Gejala ini  merupakan isu yang memerlukan penyelesaian segera. Aktiviti-aktiviti kumpulan ini telah mengeruhkan iklim sekolah dan seterusnya memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Penglibatan semua pihak adalah penting dalam menangani isu ini supaya gejala gengsterisme dapat dikawal dan  dibasmi daripada berlarutan. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing dan mengasuh anak-anak mereka di rumah sebelum mereka dihantar ke sekolah atau keluar dari rumah agar mereka mempunyai ketahanan iman dan mental dalam menghadapi cabaran dan rintangan arus perdana globalisasi. Ketahanan iman pada diri anak-anak ini akhirnya akan melahirkan pelajar yang bersih daripada pelbagai gejala dan salah laku jenayah seterusnya mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita.



 Bahan Rujukan : -
Dr.Amir Mohd Salleh, 1999, Kajian Gengsterisme di Sekolah Menengah Harian, Unit Penyelidikan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dr.Yusof al-Qurdhawi, 1999, Tamadun Islam Alternatif Masa Depan, Bangi : Maktabah al-Qardhawi.

Kamus Dewan, 1984, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pendidikan (7 November 1979), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Mohd Sulaiman Haji Yassin, 1992, Akhlak dan Tasauf, Bangi : Yayasan Salman.

Yong Wai Ping, 1989, Satu Tinjauan Mengenai Hubungan di antara Masalah Disiplin di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah dengan Tahap Perkembangan Moral, Bangi: UKM.

Iheoma, E.O, “The Role of Religion in Moral Education”, Journal of Moral Education, Vol 15, no 2, May 1986.

Majalah Massa, 5-11 Ogos 2000

Berita Harian, 13 Julai 2000

No comments:

Post a Comment