Friday 8 March 2013

B. PENGURUSAN KESELAMATAN MENGHADAPI KRISIS DAN BENCANA-ARAHAN KESELAMATAN MURID


1.0                   Definisi
Keselamatan murid dalam menghadapi risiko kemalangan akibat daripada bencana memerlukan perhatian serius kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan jiwa dan kemusnahan harta benda sekiranya semua pihak tidak peka dan akur kepada peraturan keselamatan. Kesiapsiagaan pihak sekolah adalah menjadi satu kemestian dalam menghadapi sebarang risiko bencana. Dalam arahan ini, Krisis dan Bencana termasuklah kejadian banjir, kebakaran, tanah runtuh, gempa bumi, jerebu, tsunami atau sebarang bahaya serta kecelakaan yang boleh menimpa warga sekolah.

2.0                   Matlamat
Sekolah sentiasa mempunyai keupayaan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang risiko akibat sesuatu bencana.

3.0           Objektif
3.1           Pihak sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia menghadapi  sebarang krisis dan bencana.
3.2           Mengurangkan kemalangan jiwa dan kemusnahan harta benda jika berlaku sebarang bencana.
3.3           Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam menghadapi bencana dan musibah di kalangan warga sekolah.
4.0.         Arahan Keselamatan  Berkaitan Kebakaran.
4.1.          Sebelum.
4.1.1.      Sekolah hendaklah mengadakan ceramah dan latihan kebakaran yang teratur terhadap semua warga sekolah.
4.1.2.      Sekolah hendaklah melakukan pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian elektrik dan alat pemadam api.
4.1.3.      Sekolah hendaklah memastikan semua peralatan atau bahan yang menggunakan sumber yang boleh menyebabkan kebakaran diselia, diselenggara dan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.
4.1.4.      Sekolah hendaklah menyediakan pelan laluan kecemasan dan pelan kontigensi ketika menghadapi kebakaran.
4.1.5.      Sekolah hendaklah sentiasa mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat pencegahan kebakaran daripada pihak berkuasa yang berkenaan seperti bomba.
4.1.6.      Sekolah hendaklah memastikan tatacara keselamatan berkaitan kebakaran dipamerkan di tempat-tempat yang strategik.
4.1.7.      Sekolah hendaklah mempamerkan nombor talian bantuan kecemasan di papan kenyataan sekolah.

4.2.           Semasa.
4.2.1            Sekolah hendaklah memastikan warganya tidak cemas sekiranya ada tanda-tanda kebakaran yang dilaporkan.
4.2.2            Sekolah hendaklah memastikan semua warganya meninggalkan tempat masing-masing apabila penggera seperti loceng kecemasan berbunyi.
4.2.3            Sekolah hendaklah memastikan semua warganya mematuhi laluan-laluan kecemasan dan tempat-tempat berkumpul seperti yang telah ditetapkan.
4.2.4           Sekolah hendaklah memeriksa dan memastikan jumlah warganya mencukupi seperti rekod kehadiran hari tersebut.
4.2.5            Sekolah hendaklah segera menghubungi bomba bagi membantu mengawal kebakaran.
4.2.6            Sekiranya ada sebarang kecederaan, bantuan kecemasan awal hendaklah diberikan segera dengan menghantar mangsa ke hospital/klinik yang berdekatan.

4.3               Selepas
4.3.1                       Sekolah hendaklah memastikan warga sekolah tidak menghampiri kawasan bekas kebakaran bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan kemusnahan barang bukti.
4.3.2                       Sekolah hendaklah menguruskan urusan insuran jika berkenaan.
4.3.3                       Sekolah hendaklah menghubungi ibu bapa/penjaga murid sekiranya ada murid menjadi mangsa kebakaran.
4.3.4            Sekolah hendaklah segera membuat laporan polis tentang kebakaran yang berlaku.
4.3.5            Sekolah hendaklah membuat laporan awal berkaitan kejadian dan dihantar kepada PPD/JPN.
4.3.6            Sekolah hendaklah mendapatkan laporan pihak  berkaitan punca-punca kebakaran dan menyediakan laporan secara keseluruhan untuk dihantar kepada PPD/JPN.
4.3.7            Sekolah hendaklah memastikan kawasan kebakaran dibersihkan setelah siasatan selesai.

5.0.         Arahan Keselamatan Berkaitan Banjir.
5.1.                           Sebelum.
                   5.1.1.    Sekolah hendaklah mendapatkan maklumat berkaitan keadaan cuaca semasa dan memaklumkan kepada warga sekolah yang tinggal di kawasan-kawasan yang sering dilanda  banjir.
                   5.1.2.    Sekolah hendaklah menyediakan pelan tindakan dan pelan kontigensi menghadapi bencana banjir.
                   5.1.3.    Sekolah hendaklah mengenal pasti laluan alternatif yang selamat ke sekolah ketika berlaku banjir.
                   5.1.4.    Sekolah hendaklah memastikan sistem saliran dan perparitan di sekolah sentiasa dalam keadaan baik.
                   5.1.5.    Sekolah hendaklah menyediakan bantuan dan kemudahan kepada calon-calon yang mengambil peperiksaan awam.
                             5.1.6.                Sekolah hendaklah memastikan warga sekolah mengetahui nombor-nombor talian kecemasan untuk dihubungi apabila berlaku banjir.
                             5.1.7.                Sekolah hendaklah mempunyai bekalan jaket keselamatan yang mencukupi.
                             5.1.8.                Sekolah hendaklah memastikan semua dokumen penting disimpan di tempat yang selamat.
                             5.1.9.                Sekolah hendaklah mempunyai peralatan bantuan kecemasan.
5.1.10.          Sekolah hendaklah memastikan arahan pihak berkuasa dipatuhi  pada setiap masa.
                 
5.2                   Semasa
5.2.1                Pihak sekolah hendaklah menasihati  murid-murid supaya tidak bermain air  ketika banjir.
5.2.2                 Sekolah hendaklah memastikan suis utama elektrik dimatikan.
5.2.3                 Sekolah hendaklah memastikan warganya berada di tempat yang selamat sehingga mendapat bantuan daripada pihak berwajib.
5.2.4                 Sekolah hendaklah melaporkan segera status keadaan banjir kepada PPD/JPN.
5.2.5                 Sekolah hendaklah memastikan arahan pihak berkuasa dipatuhi pada setiap masa.
5.2.6                 Sekolah hendaklah mendaftar/merekod warga sekolah yang terlibat dengan banjir.


5.3.          Selepas
5.3.1.                Sekolah hendaklah mendapatkan perkhidmatan kesihatan jika terdapat tanda-tanda penyakit berjangkit semasa musim banjir.
5.3.2.                Sekolah hendaklah menasihatkan warganya untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
5.3.3.                Sekolah hendaklah memastikan tebing-tebing di persekitaran sekolah yang berkemungkinan runtuh akibat hujan lebat diperbaiki.
5.3.4.                Sekolah hendaklah memastikan kerja-kerja pembersihan dilakukan sejurus selepas musim banjir.
5.3.5.                Sekolah hendaklah memastikan semua bentuk bantuan persekolahan murid diurus dengan segera.
5.3.6.                Sekolah hendaklah melaporkan segala kerosakan yang berlaku ketika banjir kepada PPD/JPN untuk tindakan segera.


6.0.                                          Arahan Keselamatan Semasa Berlaku Perubahan Cuaca Luar Biasa
6.1.                          Kemarau / Panas Berpanjangan
6.1.1.                Sekolah hendaklah mendapatkan pengesahan daripada pihak   berkuasa berkaitan ancaman kemarau / panas berpanjangan.
6.1.2.                Sekolah hendaklah memastikan murid-murid tidak menjalankan aktiviti di luar bilik darjah setelah mendapat nasihat daripada pihak berkuasa.
6.1.3.                Sekolah hendaklah menasihatkan warganya meminum air secukupnya.
6.1.4.                Sekolah hendaklah menasihatkan warganya mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya ada tanda-tanda penyakit.
6.1.5.                Sekolah hendaklah memaklumkan  tentang perubahan cuaca dari masa ke semasa kepada warganya.

6.2.                             Jerebu
6.2.1.                Sekolah hendaklah mengelakkan aktiviti yang boleh mendedahkan murid  kepada keadaan cuaca yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.
6.2.2.                Sekolah hendaklah memastikan warganya agar tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka dalam kawasan sekolah.
6.2.3.                Sekolah hendaklah menasihatkan warganya menggunakan topeng pernafasan ketika melakukan aktiviti di luar bilik darjah.
6.2.4.                Sekolah hendaklah menasihatkan warganya sentiasa memasang lampu ketika menunggang basikal atau motosikal.
6.2.5.                Sekolah hendaklah sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada  pihak berkuasa berkenaan ancaman jerebu.
6.2.6.                Sekolah hendaklah mengawasi sebarang aktiviti  murid ketika berlaku jerebu.
6.2.7.                Sekolah hendaklah mempunyai data murid yang mempunyai penyakit akibat ancaman jerebu.

6.3              Kilat dan Ribut Petir
6.3.1                 Sekolah dilarang menjalankan aktiviti di tempat lapang/terbuka semasa cuaca buruk dan adanya hujan, kilat atau ribut petir.
6.3.2                 Sekolah hendaklah memastikan semua aktiviti dihentikan apabila keadaan menjadi gelap kerana hendak hujan.
6.3.3                 Sekolah hendaklah memastikan semua warganya  tidak berada berhampiran bahan api, bahan logam, cermin serta tidak berlindung di bawah pokok besar, bangsal terbuka dan kawasan tinggi ketika ribut petir.
6.3.4                 Sekolah hendaklah memberikan latihan menghadapi cuaca buruk termasuklah hujan lebat , kilat atau ribut petir.

6.4              Gempa Bumi dan Tanah Runtuh
6.4.1            Sekolah hendaklah memastikan bangunan diperiksa oleh pihak berkuasa bagi menentukan kestabilan strukturnya.
6.4.2           Sekolah hendaklah memastikan tebing-tebing di persekitaran sekolah yang berkemungkinan runtuh akibat hujan lebat diperbaiki dengan segera.
6.4.3            Sekolah hendaklah memastikan warga sekolah diberi latihan menghadapi bencana gempa bumi dan tanah runtuh ( Rujuk Buku Panduan Menghadapi Bencana oleh Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Buku Panduan yang diterbitkan oleh UNICEF ).
6.4.4         Sekolah hendaklah memastikan pihak berwajib dihubungi.
6.4.5           Sekolah hendaklah memastikan bantuan diberikan kepada warga sekolah yang tercedera dengan kadar segera.
6.4.6         Sekolah hendaklah melaporkan kejadian kepada PPD/JPN.

No comments:

Post a Comment