Bermula
tahun depan, 550 sekolah rendah di negara ini akan menjadi projek perintis
pelaksanaan program pembelajaran secara menyeluruh dengan mengurangkan
penekanan terhadap akademik, sebaliknya menambah kegiatan kokurikulum agar
pendidikan yang lebih holistik dapat didedahkan pada peringkat usia lebih awal.
Kementerian Pelajaran sudah mengenal pasti 50 sekolah rendah bagi melaksanakan
program itu tahun ini membabitkan murid Tahun Satu sebagai satu langkah
membantu kerajaan membentuk semangat patriotisme bermula di sekolah rendah.
Berdasarkan cadangan yang akan dilaksanakan menjelang sesi persekolahan pada
2010 itu, menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menjelaskan kerajaan
sudah mengenalpasti sekolah perintis untuk menjalani kajian psikometrik,
aptitud dan penilaian dalam bilik darjah dengan harapan murid dapat berfikir
dan menerima pendidikan secara menyeluruh dan kritikal serta berkeyakinan
menguasai pelbagai bahasa, namun pada masa sama tidak mengenepikan bahasa
kebangsaan yang boleh menyatupadukan pelajar berbilang kaum dan agama. Langkah
ini juga sejajar dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.
Kita
mengalu-alukan pelaksanaan program itu, sekurang-kurangnya akan membantu
kerajaan membentuk sikap toleransi dan kebolehan bergaul dalam masyarakat
bermula di sekolah rendah yang menjadi elemen penting untuk hidup dalam sebuah
negara berbilang kaum. Memang dirasakan rombakan itu tidak terlalu besar kerana
ia tidak membabitkan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Walaupun ada pihak termasuk Majlis Guru Besar Malaysia mencadangkan UPSR
dihapuskan kerana mendakwa peperiksaan itu membebankan ibu bapa dan murid
kerana terlalu fokus terhadap peperiksaan sehingga mengabaikan aspek
pembangunan sahsiah dan sosial, dari satu aspek, UPSR masih perlu diteruskan
dengan perubahan yang difikirkan perlu untuk menilai prestasi akademik murid
selain memberi perangsang dan galakan kepada mereka agar memperoleh keputusan
cemerlang dalam akademik sebagai tiket memasuki sekolah berasrama penuh dan
MRSM. Cuma kita dapati di sekolah rendah sekarang terlalu banyak kategori
seperti sekolah bestari, sekolah kluster, sekolah premier, sekolah wawasan dan
sekolah kawalan. Jadi, sudah sampai masanya klasifikasi ini dihadkan supaya
orang ramai mudah faham untuk menjadikannya sebagai penanda aras di masa depan.
Apapun
perancangan yang dibuat, kerajaan harus mengambil kira aspek berkaitan
keupayaan guru mengajar. Justeru, pada peringkat latihan guru perlu didedahkan
dengan kaedah dan sistem pembelajaran baru yang bakal diperkenalkan bagi
memastikan mereka tidak menghadapi masalah untuk melaksanakannya di dalam
kelas. Kerajaan juga harus mengambil kira asas penting kebolehan murid sekolah
rendah dalam tiga aspek utama iaitu membaca, menulis dan mengira. Kita berharap
Kementerian Pelajaran bersikap telus dan rasional tanpa dipengaruhi mana-mana
pihak berkepentingan.
No comments:
Post a Comment