Ke Arah Pembinaan Modal Insan
Berkualiti
Oleh :
Haji Samsudin bin Md Noor
Pendahuluan :
Pengurusan bermaksud satu proses mendapatkan
penyertaan, kerjasama, dan campurtangan ahli untuk mencapai objektif-objektif
organisasi atau kumpulan, gerakerjanya termasuk proses merancang, mengelola,
memimpin, mengarah dan mengawal. Bilik
darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran,
merupakan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah juga merupakan
medan perjuangan utama kerjaya seorang guru. Pengurusan bilik darjah dinamik
ke arah pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi,
rohani dan intelek memerlukan pelbagai pengetahuan, kemahiran, prosedur,
teknik dan strategi. Guru seharusnya memiliki gaya kepimpinan, kemahiran
merancang, kecekapan mengurus, kepelbagaian dalam pengajaran dan
pembelajaran, kebijaksanaan interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran
kaunseling dan mampu mengendalikan teknoloji maklumat dan komunikasi (TMK).
Pelbagai kekangan dan permasalahan akan ujud
dalam bilik darjah, kebiasaannya guru berhadapan dengan tiga cabaran yang
besar iaitu kerenah murid, memastikan hasil pembelajaran tercapai dan
hambatan masa. Guru yang berwibawa bijak bertindak sebagai penyelesaian
masalah, memperjelaskan objektif-objektif setiap perkara yang melibatkan
bilik darjah termasuk pengajaran dan pembelajaran serta penilaian
(pentaksiran), keceriaan, dan pengurusan murid sebagai pelanggan utama.
Pengurus yang berwibawa sentiasa bersungguh-sungguh
menjalankan tugas yang diamanahkan, kreatif dan innovatif, dedkasi, adil,
cekap, mesra, periang, bertimbangrasa, bersikap terbuka, tenang, sabar dan
sentiasa bersedia untuk mendengar rungutan, kritikan dan teguran yang
dianggap sebagai cabaran dalam kerjaya. Pengurusan tanpa cacat (zero defect)
yang peka dan sentiasa mencari pendekatan baru untuk memperbaiki
kelemahan-kelemahan serta kekurangan yang menjadi punca kepada pembaziran dan
kegagalan di samping memiliki gaya pengurusan kualti yang mencakupi semua
aspek bagi meningkatkan produktiviti,
keberkesanan program dan bertindak
dengan cekap.
Pengurusan bilik darjah yang menyeluruh
melibatkan pengurusan fizikal, peralatan
dan sumber, pengurusan murid (pelanggan), pengurusan organisasi, pengurusan
masa dan pengurusan pengajaran dan
pembelajaran serta penilaian.
|
Pengurusan Fizikal, Sumber dan Organisasi
Bilik darjah yang mempunyai peralatan asas iaitu
papan hitam, papan kenyataaan, dan ruang yang selesa, meja dan kerusi untuk
guru dan murid, almari, yang diahiasi dengan penyediaan bahan-bahan bacaan,
dan bahan bantuan mengajar serta peralatan sokongan serta dihiasi dengan
keceriaan dan keberrsihan.
Susunan meja dan kerusi dalam bilik darjah
sebaik-baiknya memberi kemudahan kepada murid-murid mengadakan aktiviti
pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti berkumpulan. Murid mudah
berintraksi sesama mereka dan mudah berintraksi dengan guru. Bilik darjah
yang berukuran 7 meter x 9 meter boleh memuatkan 40 orang murid. Cahaya yang
mencukupi dan pintu dan tingkap yang terbuka yang membolehkan pengedaran
udara yang secukupnya.
Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual
waktu, jadual bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan, sudut mata
pelajaran, sudut bacaan atau rujukan, kata-kata motivasi, termasuk kemudahan
penggunaan laman web, komputer dan CD dan LCD sehingga melahirkan pembudayaan
bilik darjah yang kondusif. Hasilnya terjelma suasana yang harmonis, ceria,
dan semangat kepada murid dan guru untuk berada lebih lama kerana terasa seolah-olah
berada dalam sebuah rumah sendiri, ujudnya perasaan saling berkerjasama dan
kekitaan dan semangat berdikari, iaitu bersama berusaha memajukan diri dan
kumpulan secara kolektif.
Murid sebagai sumber manusia yang akan dijelmakan
menjadi murid yang berpengetahuan dan berkemahiran dan berketrampilan
memerlukan pengurusan dan perancangan strategik yang berkesan. Guru
berperanan sebagai pencetus idea, pembimbing, fasilitator bagi melahirkan
suasana pembelajaran yang mengcakupi semua bidang kemahiran sebagai sumber
kepada pembinaan modal insan. Suasana pembelajaran yang kondusif,
menyeronokkan, bermotivasi, bermoral, kreatif, menjadikan pengajaran dan
pembelajaran lebih berfokus.Kejayaan guru mengurus fizikal, sumber dan
suasana bilik darjah yang kondusif,
bermakna guru telah berjaya membentuk budaya berdisiplin, kerjasama, sayang
kepada keindahan alam sekitar, mematuhi setiap arahan, kehidupan berkualiti,
yang melambang sebahagian daripada keimanan.
Persediaan untuk menghasilkan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan merupakan sebahagian daripada pengurusan bilik
darjah dinamik. Persediaan yang merangkum pelbagai alatan dan bahan untuk
kegunaan guru dan murid. Ada kalanya murid tidak memberi perhatian atau
berkelakuan di luar daripada nilai-nilai murni yang hendak digarap boleh
dilihat berpunca daripada tidak terdapat kesinambungan dalam pelajaran
disebabkan persediaan guru dari aspek bahan, perlatan, pengetahuan dan
kemahiran yang kurang mantap.
Iklim Dan Aplikasi Bilik Darjah
Suasana bilik darjah harmonis membantu
peningkatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna. Adalah menjadi
tanggungjawab guru untuk membentuk iklim dan budaya bilik darjah yang baik.
Gaya kepimpinan yang berwibawa tanpa terlalu banyak memberi arahan dianggap sebagai pemimpin demokratik hanya
akan mengambil masa untuk mendapatkan buah fikiran bagi menyelesai sesuatu
isu, dan kelihatan kumpulan-kumpulan yang ujud di bilik darjah mempunyai
hubungan yang lebih mesra dan saling bekerjasama. Berbeza dengan pemimpin
Laiissez-faire yang memberi arahan-arahan yang tidak jelas dan
jawapan-jawapan yang ringkas tentang sesuatu persoalan.
Pendekatan-pendekatan yang hendak digunakan bagi
mengawal iklim dalam bilik darjah perlu berlandaskan tahap perkembangan
murid-murid. Iklim bilik darjah yang baik biasanya dikaitkan dengan kepatuhan
dan keseronokan murid bersama guru dalam bilik darjah tersebut. Guru yang memiliki gaya kepimpinan yang
matang sedia menerima dan menghormati setiap murid dalam bilik darjah,
memperbaiki peraturan-peraturan supaya peraturan itu boleh berubah mengikut
keadaan dan suasana serta menekan kepada jangkaan-jangkaan yang positif.
Apabila keadaan ini berlaku guru sebagai pemimpin dapat menyesuaikan diri
dengan pelbagai situasi dan pertumbuhan diri murid-murid serta bersikap
keterbukaan dalam perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.
Pengurusan bilik darjah akan menjadi bertambah
baik jika sistem penyeliaan diurus dengan berkesan. Murid-murid diberikan
tugasan dalam mewujudkan iklim yang kondusif serta membantu dalam penyediaan
bahan dan alatan, tugasan-tugasan yang diberikan kepada setiap murid pada
awal tahun lagi dapat membantu mengembangkan budaya bertanggungjawab,
berkerjasama serta hubungan yang baik antara mereka dan juga hubungan antara guru dengan murid, dan peranan guru
sebagai pembantu penyelsaian masalah yang dihadapi oleh murid-murid.
Secara umumnya, pengurusan bilik darjah
sebaik-baiknya merangkumi ciri-ciri kesesuaian (releven) dengan murid,
persediaan suasana pembelajaran yang berkesan, organisasi pengajaran dan
sokongan-sokongan yang membantu peningkatan aktiviti-aktiviti perkembangan
pembelajaran secara lebih aktif dan produktif, teknik-teknik motivasi dan
penyelesaian konflik dan pergabungan semua elemen dalam satu sistem bagi
menampakkan keberkesanannya. Peranan dan pengorbanan guru sebagai penggerak
dan pengubah iklim yang kurang menyerlah kepada suasana yang lebih kondusif
sebagai jambatan utama susanan pembelajaran yang memberangsangkan ke arah
pembentukan modal insan di kalangan murid..
|
Pengurusan Murid
Murid adalah pelanggan bagi setiap guru dalam bilik darjah, mereka akan
bersama setiap kali pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam bilik
darjah. Hati mereka perlu dibersihkan melalui pendidikan yang terbaik, yang
melampaui tingkahlaku manusia. Terdapat perbezaan antara individu murid atau
kumpulan murid dengan yang lain yang mendesak guru menggunakan yang optimum
dalam pengurusan bilik darjah, dan adalah penting guru memahami tingkahlaku
dan budaya murid supaya sebarang tindakan dapat dilakukan mengikut kaedah
yang betul dan tepat.
Pengurusan hal ehwal murid dalam bilik darjah
melalui pendekatan penyayang yang ditunjukkan oleh guru, dapat menjinakkan
mereka, bercakap dengan bahasa yang lembut dan bersopan, menegur dan membetul
kesilapan dengan cara yang berhemah, di samping menggunakan segala sifat
mahmudah, akan mempercepatkan proses kecintaan dan kesetiaan murid terhadap
gurunya, dan kemujaraban pemindahan maklumat daripada guru kepada muridnya.
Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan penting
ke arah pembentukan budaya penyayang, komonikasi berkesan dalam dijelmakan
dalam cara bertutur, penggunaan bahasa badan, penulisan, juga melalui
penggunaaan alat-alat tertentu seperti komputer, telipon dan sebagainya.
Apabila seorang guru menggunakan kemahiran berkomonikasi terhadap muridnya,
dapat menghasil suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak,
kemahiran-kemahiran tertentu dapat diterap dengan lebih mudah dan
berkesan. Komunikasi berkesan
menghasilkan motivasi yang berkesan, murid mudah menerima motivasi yang
disampaiakn secara berhemah dan berhikmah, nilai-nilai murni yang hendak
ditanam dalam diri murid akan melalui laluan yang lebih mudah dan berkesan.
Guru yang berwibawa sentiasa melihat pembelajaran
sosial sebagai satu aspek penting dalam bilik darjah. Setiap yang dipimpin perlukan penghargaan
dan pengiktirafan, dan guru seharusnnya bijak menggunakan kebijaksanaan
komunikasi serta pendekatan penyayang dengan menghadiahkan senyuman,
memberikan penghargaan apabila mereka mempamerkan sesuatu yang lebih baik
daripada sebelum, misalnya, kelas yang lebih teratur, kemas yang bersih.
Menghabiskan ayat hafazan sebelum jangka masa yang ditentukan, markah yang
semakin baik. Sekeping kertas berbentuk surat penghargaan, atau sebatang pen
sebagai tanda penghargaan sudah menunjukkan keikhlaan guru bagi meningkatkan
prestasi mereka.
Guru menunjukkan teladan sebagai seorang
professional, membentuk program-program yang bertujuan membangunkan murid,
dengan peraturan dan arahan yang jelas, bagi mengurang segala tingkahlaku
negative. Guru sepatutnya mengelak diri daripada menggunakan
pendekatan-pendekatan yang bertentangan dengan norma kemanusiaan yang
menggalak murid menghargai pertumbuhan pengetahuanh dan kemahiran diri.
Budaya
bilik darjah yang dinamis, mementingkan aspek nilai-nilai murni, hubungan
yang mesra di antara sesama murid, dan murid dengan guru, budaya belajar yang
ceria, meyeronokkan yang menyentuh emosi, meningkatkan kecergasan mental,
kreatif dan enovatif, penyertaan yang aktif, pembelajaran yang berobjektif
dan bermatlamat, yang sentiasa mendapat dorongan dan bimbingan guru dan rakan
sebaya, tahap disiplin yang terkawal melalui tindakan yang berhemah, yang
dibaluti dengan perasaan kasih dan sayang dapat memberi peluang yang terbaik
untuk mengembang potensi diri mereka ke arah pembentukan modal insan yang
berkauliti.
Guru boleh membuat jangkaan terhadap pelajar,
seperti mengurangkan kadar ponteng dan permasalahan disiplin melalui
pendekatan pengurusan bilik darjah yang berkesan. Kadar bilangan murid yang
terlalu ramai dalam sesebuah bilik darjah, bukan satu ukuran yang subjektif
untuk dibuat satu kesimpulan bahawa kelas tersebut tidak dapat dibangunkan,
tetapi bagaimana guru menyusun kedudukan meja, mengorganisasikan murid
sebagai sebuah pasukan yang mantap, melalui tindakan guru sebagai
fasilitator, pembimbing, penyelia, pengawal dan penggerak serta menggunakan
pelbagai pendekatan kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran yang disertai
dengan semangat, minat, dan komitmen guru bagi menjayakan visi dan misi.
Kecekapan yang ditunjukan oleh guru bagi menhasilkan bilik darjah sebagai
sebuah rumah dalam slogan,’ bilik darjah ku, rumah ku’.
Kemahiran mengawal kelas apabila guru melangkah
masuk ke kelas tersebut menjadi penting kerana seorang guru tidak boleh
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berkesan sekiranya muird-murid dalam
kelas berkenaan tidak dapat dikawal dengan baik. Guru mungkin berhadapan
dengan beberapa murid yang nakal, tetapi harus ingat bahawa bukan semua murid
menjadi punca permasalahan tetapi jika tiada pengawalan yang baik, jumlah
murid yang akan menimbulkan ketidakselesaan guru akan bertambah dan akhirnya
menjejaskan penumpuan guru terhadap penyampaian pengajaran .
Strategi bagi mengawal keadaan ini, guru
mengenalpasti murid-murid yang menimbulkan punca permasalahan, supaya murid
lain tidak menjadi ‘pak turut’ dengan permasalahan rakan mereka itu, murid
yang berkenaan dikenalpastikan pula punca yang menyebabkan ia bertindak
sedemikian, cuba membantu menyelesaikan punca permasalahan itu, dan teruskan
aktiviti pengajaran dengan banyak berinteraksi dengan murid yang berkenaan
sehingga ia merasakan dirinya mendapat perhatian dan dihargai bukan kerana
dirinya tetapi kerana tingkahlakunya yang tidak disenangi guru. Guru juga
sentiasa mempamerkan pengiktirafan terhadap murid berkenaan ketika berada di
luar waktu pengajaran dan pembelajaran, ketegasan kepada disiplin
pembelajaran perlu dilakukan dengan cara dan pedekatan yang berhemah yang
menampakkan bahawa ketegasan itu bukan bertujuan penderaan tetapi pengajaran.
Sekiranya perlu murid berkenaan diberikan nasihat, teguran dan kata-kata
motivasi yang menggambarkan bahawa guru menyayanginya. Apabila berlaku
perubahan ke arah kebaikan, berilah pengiktirafan dan penghargaan terima
kasih. Kesabaran, kecekalan dan
kesungguhan untuk membentuk perangai mereka yang kadangkala mengambil masa
yang agak lama.
Beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan
mengurus tingkahlaku murid, antaranya ialah senaraikan maklumat yang perlu
murid ketahui tentang peraturan yang wajib murid patuhi sepanjang masa
pengajaran dan pembelajaran dan disertai dengan sebab-sebab dan objektifnya.
Membiasakan diri datang ke bilik darjah menepati masa, menggunakan pelbagai
kaedah pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap pencapaian murid, yang
dimulakan dengan set induksi yang menarik dan diikuti dengan
aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menghilangkan rasa kebosanan mereka atau
melakukan beberapa tugasan yang berkaitan dengan isi-isi pengajaran
tersebut, guru tidak melengah-lengah
waktu untuk memulakan pengajaran dan menamatkan pengajaran diminit-minit yang
akhir, untuk mengelakkan murid melakukan perkara-perkara yang tidak berkaitan
dengan hasil pembelajaran, banyak merangsangkan minda mereka dengan kata-kata
bermotivasi dan penuh dengan senyuman dan jenaka (sense humor), dan pujian
supaya suasana senstiasa ceria, di
samping memberi teguran umum yang berupa nasihat tetapi bukan leteran. Guru
juga menghormati murid seperti orang lain,
bersikap adil kepada semua murid, hukuman berbentuk deraan tidak
seharusnya dilaksanakan kerana menyebabkan hubungan guru dengan murid akan
renggang dan menghilangkan minat murid untuk meneruskan pembelajaran.
|
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran
adalah aspek yang terpenting dalam
bilik darjah, merupakan tugas utama yang perlu diberi perhatian yang serius,
pembaziran waktu akan berlaku dalam satu masa pengajaran dan pembelajaran
sekiranya objektif pembelajaran tidak tercapai.Pelan Tindakan Strategik bagi
mata pelajaran yang diajar perlu disediakan oleh guru. Kajian dari aspek
kekuatan, kelemahan, peluang dan halangan yang disertai dengan perancangan
untuk lima tahun dan perancangan untuk tahun semasa selaras dengan perancangan
staregik sekolah.
Peningkatan profesionalisma guru dalam bilik
darjah dilihat dalam aspek kebolehan
mencorak kualiti pengajaran, kebolehan menyusun organisasi pembelajaran,
kebolehan mencorak iklim dalam bilik darjah, kebolehan mencorak perkembangan
murid termasuk perkembangan akademik, perlakuan, sosial, emosi, rohani,
intelek dan jasmani.
Guru yang bercita-cita untuk menjadi pengurus
bilik darjah yang berkesan dapat memahami perasaan dan kehendak hati nurani
murid-murid, guru perlu cekap mencorak iklim yang memberansangkan, kecekapan
dan kemahiran pengajaran, pengurusan masa, produktiviti dan tugas pengajaran
dan pembelajaran, mencorakkan tingkahlaku dan pengawalan disiplin murid. Oleh
itu guru berperanan sebagai pendidik,
pemudah cara, pemimpin, pembimbing, penilai, perancang, perunding dan
pendorong ke arah kecemerlangan murid.
Bagi mencapai kecekapan dalam pengurusan
pengajaran dan pembelajaran maka perlukan kebijaksanaan dan penelitian dalam perancangan , pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan refleksi. Merancang
kurikululum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan rujukan tambahan dan
maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman web.
Perkara-perkara yang melibatkan innovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan
pembelajaran supaya kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti dengan
perancangan kemajuan pelajar, merangka
rancangan kerja tahunan, termasuk ujian, penilaian dan pentaksiran. Perancangan yang
berkualiti menjamin peningkatan kuantiti dan kualiti dalam proses perkembangan
pembelajaran serta hasilannya. Biasanya tingkahlaku dan minat murid akan
berubah apabila bertukar guru, ada guru yang digemari murid dan sebalik ada
yang tidak digemari murid.
Pembelajaran yang bermakna melibatkan proses memahami, berfikir, berbincang,
membuat pertimbangan, menganalisis, kognitif, bagi mengembangkan minda murid.
Diperluaskan kepada
kemahiran komunikasi, menyesuaikan diri, kemahiran sosial, dan perkembangan
tingkahlaku. Prinsip umum pembelajaran, iaitu meningkatkan dan mengekalkan
rasa kejayaan, meluaskan tahap keintlektualan, kerohanian, kekuatan emosi,
dan keteguhan jasmani, merangsang minat dan menghasilkan keseronokan, memberi
ruang dan peluang untuk mengatasi kelemahan, tidak menakut-nakutkan dan
mengungut murid, sebaliknya memberi peluang kepada mereka memperbaiki
kelemahan, tidak membiarkan kegagalan berterusan, pembelajaran perlu
realistik dan boleh dilakukan, mengambil kira
kemampuan murid, pembelajaran perlu dapat menentukan objektif iaitu
apa yang hendak dikuasai oleh murid, dan pembelajaran juga mampu mencabar
kebolehan murid bagi mengembangkan potensi mereka.
Guru perlu memiliki beberapa kemahiran penting,
kerana kemahiran mengajar menjadi instrumen untuk kejayaan dalam mengurus
bilik darjah, antara kemahiran dalam pelbagai
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh diambil dari modul, model,
kaedah dan teknik yang sedia ada atau menggunakan daya innovasi dan
kreativiti membina model-model tersendiri, kemahiran berkomunikasi, kemahiran
interpersonal, kemahiran dalam bimbingan dan kaunseling, kemahiran dalam
menawan emosi atau kesedaran emosi juga menjadi pemangkin dalam pengajaran
dan pembelajaran.
Komunikasi adalah medan pemindahan pengetahuan,
penyampaian pengajaran, mengembangkan kemahiran berkomunikasi, dan mendapat
maklumat. Mengamalkan komunikasi berkesan, penggunaan bahasa, kesediaan
mendengar, meningkatkan proses intraksi, komunikasi terbuka, kemahiran
bertutur dan mengemukakan pandangan,
berhujah dan berdailog,
Guru seharusnya mampu mengembangkan kemahiran
komunikasi, lebih kreatif dan hubungan yang lebih dinamik kesannya,
penyelesaian konflik yang berrlaku, memberi ruang untuk murid melahirkan
pandangan, guru mampu melakukan pengaliran maklumat yang lebih berkesan,
serta mendapat maklum balas yang benar. Guru berjaya menghasilkan kreativiti dalam pengajaran dan
pembelajaran, dengan membina pelbagai kemahiran, yang boleh meningkatkan
kecekapan, dan meluaskan skop
pembelajaran, yang bermatlamat bagi meningkatkan pengajaran guru.
Justeru itu guru seharusnya mengelakkan masalah
yang boleh menjejaskan keberkesanan
komunikasi seperti kekeliruan,
salahtafsir, bahasa yang kasar, suara yang tidak jelas, bahasa badan yang
tidak sesuai, memberi tekanan emosi murid, komunikasi tertutup, tidak memberi
perhatian dan tumpuan tentang pengajaran dan pembelajaran.
Kehebatan pengajaran guru bergantung kepada
kejelasan suara, gaya pengajaran yang menarik, flesibiliti iaitu tidak
sehingga membosankan, inovasi, kreatif,
pendekatan yang sentiasa digunakan untuk membaiki kelemahan murid,
penglibatan murid dalam aktiviti kelas, dan pengurusan masa yang berkesan.
Meransang minat, memenuhi keperluan diri, sosial, dan psikologi, dorongan dan
sokongan, mengembangkan potensi, kebolehan, minat, bakat dan keyakinan diri
murid.Kepakaran guru diukur dari aspek inisiatif, dedikasi, perancangan,
kerjasama, kepimpinan, kepakaran, integriti yang tekal dalam organisasi yang
dapat mengujudkan keharmonian dan menunjukkan kesetiaan dan sokongan bagi
menjayakan wawasan, keaktifan, dan pengurusan masa. Pembelajaran murid
terhasil melalui proses pendengaran,pemerhatian, peniruan, membuat, ekplorasi
iaitu pembelajaran yang aktif yang merangsangkan minat murid, melalui
latihan, percubaan, penglibatan dalam aktiviti pembelajaran.
Kejayaan seseorang guru sebagai pengurus di bilik
darjah tidak semata-mata dinilai daripada aspek kemahiran dan teknik
pengajaran dan pembelajaran semata-mata, tetapi kualiti peribadi dan sahsiah
diri juga menjadi tarikan kepada murid-murid. Pada amnya guru yang disukai murid
antaranya ialah yang sentiasa berwajah periang, pandai berjenaka, bersangka
baik, berperasaan yang matang, jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas,
berfikiran positif, tenang menghadapi sebarang krisis, pendengar yang aktif,
berjaya menyelesaikan konflik, dan tidak mudah menyalahkan orang lain. Imam
al-Ghazali menggariskan ciri-ciri guru yang efektif iaitu guru yang memiliki
rasa simpati kepada setiap murid dan melayani mereka seperti anak sendiri,
meneladan sunnah Rasulullah S.A.W. yang ikhlas dalam memberi perkhidmatan,
tidak membenarkan murid melaksanakan sesuatu tugas kecuali guru benar-benar
mengetahui pengetahuan tersebut, menasihat murid secara lembut dan berhemah
supaya meninggalkan perkara-perkara yang buruk, tidak sekali-kali merendahkan
disiplin ilmu yang lain di hadapan murid, menghadkan pembelajaran bersesuaian
dengan tahap pencapaian dan pemahaman murid dan tidak memaksa mereka mencapai
sesuatu di luar kemampuan serta menyediakan bahan pembelajaran yang mudah
difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid.
Pengajaran Dan Pembelajaran
Pengajaran dan pembelajaran yang hendak dikembangkan seharusnya mengikut
instrumen yang telah ditetapkan oleh bahagian-bahagian pengurusan di atas.
Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral adalah satu-satunya jabatan yang
bertanggungjawab untuk memperkenalkan dan menyelaraskan instrumen-instrumen
berkenaan untuk digunapakai oleh organisasi di bawah kawalan. Modul
pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh JAPIM telah melepasi piawai
yang dikehendaki oleh pengurusan sekolah dan jemaah nazir sekolah. Beberapa
perkara penting yang dititikberatkan dalam modul berkenaan iaitu hasil
pembelajaran dan fokus, isi kandungan pelajaran, set induksi, perkembangan
pengajaran dan pembelajaran. Penilaian, rumusan, tugasan dan refleksi.
Set induksi :
Merupakan suatu perkara atau proses yang
diperkenalkan pada minit pertama pengajaran yang bertujuan untuk menarik
perhatian dan mendorong murid mempengaruhi hasil pembelajaran, set induksi
yang menarik dapat menimbulkan minat murid terhadap tajuk yang hendak
disampaikan guru, murid memperolehi gambaran awal sebelum dimulakan
pengajaran tajuk yang sebenar, mendorong pelajar untuk mengetahui isi
pengajaran, dan pemusatan mental murid kepada satu konsep atau pendekatan
yang hendak dikemukakan oleh guru.
Set induksi boleh disediakan dalam pelbagai
bentuk dan kaedah yang menarik, seperti tayangan sedutan filem, sebuah
nasyid, pantun, puisi, satu persembahan atau lakonan, permainan, soal jawab,
mempamerkan suatu bentuk atau objek, suatu penyataan yang kontroversial, klip
vedio tentang sesuatu panorama, atau satu peristiwa yang telah berlaku, atau
menyediakan satu bahan atau satu persoalan yang mencabar minda murid. Set
induksi yang hendak disediakan hendaklah yang dapat dikaitkan dengan hasil
pembelajaran, isi pelajaran, yang mendorong minat murid terhadap tajuk yang
hendak diajar, dan dimulakan dalam keadaan murid sudah bersedia bagi
memulakan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran, dalam jangka masa antara
satu hingga lima minit.
Perkembangan isi pelajaran :
Perkembangan isi pelajaran berlaku secara
berurutan dengan set induksi, bagi matapelajaran Pendidikan Islam
langkah-langkah perkembangan dibahagikan kepada tiga aras. Aras pertama
adalah aras asas dan semua murid kelas yang di ajar hendaklah menguasai aras
ini, sekiranya gagal mereka dikehendaki mengikuti program pemulihan melalui
pendekatan yang lebih mudah seperti menyediakan soalan-soalan yang mudah
difahami serta nota ringkas dan mereka membaca dan memahami nota dengan
bimbingan guru kemudian menjawab soalan manakala murid-murid lain akan terus
ke aras kedua iaitu meneruskan perkembangan selanjutnya, setelah itu guru
membuat penilaian, sekiranya ada yang gagal, murid-murid berkenaan diberikan
program pemulihan dengan pendekatan yang lebih sesuai, murid-murid lain terus
ke aras ketiga sehingga selesai dan diikuti dengan penilaian yang terakhir
dipenghujung pengajaran dan pembelajaran.
Langkah-langkah perkembangan isi pelajaran perlu
bermula dari yang mudah kepada yang lebih kompleks, langkah-langkah disusun
dengan menggunakan kaedah-kaedah dan teknik-teknik pengajaran yang sesuai,
secocok dengan kemampuan serta menarik minat murid untuk terus menghayati
ilmu yang sedang diterokai. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat
dilaksanakan dengan berkesan mengikut masa yang telah ditetapkan, jika tidak,
pembaziran masa akan berlaku dan isi kandungan tidak dapat diselesaikan.
Setiap isi pelajaran yang diperuntukkan dalam masa tersebut dapat dinyatakan,
difahami, dan sebahagian murid pula dapat
menganalisa, membandingbeza dan
dapat membuat penilaian.
Pembinaan modal insan yang berkualiti yang
menjadi agenda Negara sewajarnya dipupuk dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Pembinaan intelek, rohani, emosi dan jasmani seharusnya disemai
melalui aktiviti-aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran yang berterusan
supaya ianya menjadi amalan, penghayatan dan pembudayaan. Penyerapan dengan
matapelajaran yang lain, termasuk prinsip-prinsip Islam Hadhari, penggabungjalinan dengan tajuk-tajuk lain,
serta penerapan nilai. Guru menggunakan
berbagai kaedah dan teknik bagi meningkatkan penguasaan ilmu di
samping menjana kemahiran berfikir, termasuk kemahiran-kemahiran lain seperti
kemahiran berkomunikasi dan berintraksi, kemahiran menulis, kemahiran
berhujah, kemahiran imiginasi dan sebagainya, bagi membentuk kemenjadian
murid.
Kemahiran menggunakan sumber yang sedia ada
menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berksan, seperti alat bantuan
mengajar dan bahan bantuan mengajar dan
bahan bantuan belajar kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi,
bahan rujukan tambahan, bahan maklumat tambahan dan sebagainya menjadi inspirasi guru untuk memudah dan
mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sumber pengajaran dan pembelajaran hendaklah yang
lebih releven dengan hasil pembelajaran serta isi pembelajaran. Sumber itu
dapat mempercepat dan menjimat masa pembelajaran, menarik minat murid, dan
boleh disertai oleh semua murid. Maklumat dari sumber berkenaan adalah tepat,
pengolahan yang mudah difahami, senang digunakan dan boleh diubah dan sesuai
dengan keadaan semasa.
Apabila seluruh potensi insan dibangunkan secara
intergrasi atau bersepadu, ia bakal melahirkan insan yang berketrampilan yang
mampu menyumbangkan segala kebolehan
untuk kebaikan diri, masyarakat dan Negara. Hati adalah penentu dalam
pembangunan insan kerana hati menjadi punca penggerak dan keinnginan manusia
dan dari hati juga lahirnya pertimbangan dan nilai sesuatu amalan. Hati perlu
menjalani proses pendidikan supaya lahirnya hati yang bersih, baik dan
bermanfaat. Intergrasi ilmu yang bersandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah
dan dikaitkan dengan berbagai cabang ilmu, bakal melahirkan modal insan yang
berkualiti.
Pengujian, penilaian, pengukuran dan pentaksiran :
Pengujian adalah merujuk kepada satu cara untuk
merealisasikan maklumat tentang perubahan tingkahlaku seseorang. Ujian
terdiri satu set soalan atau tugasan
murid yang meminta mereka memberi respons atau tindakbalas. Ujian yang
dijalankan yang berfokus kepada satu atau lebih unit pembelajaran adalah
sebagai pengukur keberkesanan hasil pembelajaran, mengesan kemajuan yang
telah diperolehi tentang sesuatu isi pelajaran yang telah dihasilkan dalam
aktiviti pembelajaran. Ujian petempatan pula adalah bertujuan menguji
pengetahuan yang sedia ada, bagi menentukan aras pembelajaran yang berikut,
dan ujian diagnostik adalah bertujuan untuk menjadi panduan kepada guru
menentukan kaedah pemulihan dan
pengukuhan yang akan dilakukan selepas ujian tersebut.
Pengukuran merupakan suatu proses untuk
menetapkan kuantiti dan tahap keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran
murid. Alat pengukuran yang biasa digunakan oleh seseorang guru. Tujuan
pengukuran dalam bilik darjah adalah untuk mengesan hasil pembelajaran,
mengesan kemahiran, kemajuan yang telah dicapai dalam pembelajaran yang lain
serta membuat refleksi terhadap kemampuan dan penguasaan seeorang murid. Cara pengukuran boleh
dilakukan dengan kaedah yang pelbagai bagi mendapatkan data kuantitif, bagi
menunjukkan pencapaian dalam isi pelajaran yang diukur.
Penilaian dalam pembelajaran adalah suatu proses
mentaksir sama ada kuantiti atau tahap sesuatu yang diukur itu boleh diterima
atau tidak. Penilaian melibatkan tiga langkah iaitu mendapatkan maklumat melalui
cara mengukur, menetapkan suatu kriteria bagi pengukuran dan membuat sesuatu
pertimbangan berdasarkan hasil pengukuran. Selain daripada ujian, penilaian
boleh dilakukan melalui soal selidik, senarai semak, bagi mendapatkan
maklumat tentang pencapaian dan tingkahlaku murid secara
menyeluruh.Kepentingan penilaian dalam bilik darjah, antaranya membantu guru
merancang strategi pengajaran setelah mengetahui punca kelemahan dan
merancang program pengukuhan, dan menentukan pengajaran dan pembelajaran yang
lebih efisien dan efektif. Murid dan ibubapa mendapat laporan kemajuan
pelajaran. Mengesahkan tahap pencapaian murid bagi membantu guru membuat
tindakan susulan. Membantu Pengetua atau Guru Besar, Penolong Kanan, Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid, kaunselor, Guru Bidang dan juga Ketua Panitia Mata
Pelajaran bagi melaksanakan berbagai pendekatan membantu meningkatkan
prestasi dalam peperiksaan.
Penilaian terbahagi kepada dua kategori iaitu
penilaian formatif dan penilaian sumatif.
Penilaian formatif bertujuan untuk mengukur kemajuan pelajaran murid
setelah sesuatu hasil pembelajaran telah selesai dilaksanakan oleh guru, guru
dapat mengetahui pencapaian murid sama ada boleh diteruskan ke hasil
pembelajaran yang berikutnya. Sekiranya mejoriti murid gagal dalam ujian ini,
guru seharusnya melakukan pemulihan atau pengulangan dalam kaedah atau
pendekatan yang lebih mudah. Jika sebilangan kecil murid yang gagal, maka
murid-murid tersebut juga perlu diipulihkan melalui bimbingan atau
menyediakan tugasan tertentu dan dalam masa yang sama pengajaran dan
pembelajaran murid-murid yang berjaya diteruskan ke aras atau hasil pelajaran
yang berikutnya.
Penilaian sumatif ialah penilaian yang
dilakasanakan di akhir semester atau tahun seperti peperiksaan akhir tahun,
peperiksaan semester I, peperiksaan percubaan dan sebagainya. Tujuannya
adalah untuk menentukan gred-gred pencapaian atau untuk memberi
penganugerahan atau sijil. Bidangnya menjadi lebih luas yang mencakupi semua
perkara yang perlu dikuasai murid bagi setiap mata pelajaran. Guru juga
menggunakan keputusan tersebut sebagai menilai semula keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran.
Beberapa jenis ujian boleh dilaksanakan oleh
guru, antaranya, ujian rujukan kriteria, ujian rujukan norma, ujian objektif,
ujian subjektif, ujian tara, ujian buatan guru, ujian bukan bertulis, ujian
bertulis, ujian kepantasan dan ujian daya.
Ujian rujukan norma ialah ujian yang bertujuan
membanding pencapaian seorang murid dengan murid yang lain. Soalan-soalan yang
dikemukakan terdapat aras mudah, sederhana dan sukar. Ujian rujukan kriteria
ialah pencapaian seseorang murid
diukur dan dibandingkan dengan kretiria yang telah ditentukan contohnya untuk
mendapat markah yang penuh bagi sesuatu soalan atau tugasan maka murid
berkenaan perlu memenuhi aspek-aspek yang telah ditentukan. Soalan-soalan
dalam ujian ini adalah hampir sama aras kesukarannya, guru dapat membayangkan
tahap pengetahuan dan kemahiran yang dicapai oleh murid yang berkenaan. Ujian
rujukan kretiria ini lebih mengutamakan pembelajaran bahagian-bahagian
tertetu bukan keseluruhan.
Ujian objektif adalah ujian yang biasanya
memerlukan jawapan pendek iaitu beberapa perkataan sahaja atau menandakan
jawapan mana yang betul, contohnya ujian aneka pilihan, salah-betul, padanan,
isi tempat kosong dan lengkapkan dan pemeriksa akan memberi markah yang sama
dengan pemeriksa yang lain. Ujian subjektif, ialah soalan yang bertujuan
untuk menguji pengetahuan, kefahaman dan kebolehan murid itu berfikir,
menganalisis, membuat sentisis dan penilaian. Calon diberi kebebasan untuk
memberi jawapan dengan pendekatan sendiri. Soalan ini terbahagi kepada soalan
yang memerlukan jawapan yang ringkas, dan soalan yang memerlukan jawapan yang
tiada had.
Ujian tara ialah ujian yang mempunyai prsedur
pentadbiran dan permarkahan yang setara dengan murid di tempat yang lain sama
bagi satu daerah, negeri atau Negara. Ujian buatan guru adalah ujian yang
disediakan untuk mengukur hasil pengajaran dan pembelajaran seseorang guru
bagi mata pelajaran tersebut. Ujian bulanan, pertengahan tahun dan akhir
tahun sama ada berbentuk objektif atau subjektif.
Ujian bukan bertulis dikatakan sebagai ujian
perlakuan, yang tidak menggunakan perkataan kecuali semasa memberi arahan.
Contohnya, murid menyusun kembali keratan-keratan gambar supaya menjadi
gambar yang lengkap. Ujian bertulis iaitu ujian yang perlu dijawab
menggunakan perkataan yang ditulis di atas kertas.
Ujian kepantasan ialah ujian yang mengandungi
jumlah soalan yang banyak dan perlu diselesaikan dalam jangka masa yang terhad
dan hampir sama aras kesukarannya. Ujian Daya ialah ujian yang terdiri
daripada soalan-soalan yang berbeza-beza aras kesukaran dan markahnya
tertakluk kepada jumlah soalan yang dijawab dengan betul, masa yang
diperuntukkan adalah lebih lama dimana mejoriti pelajar dapat menyelesaikan
semua soalan.
Jadual penentuan ujian (JPU) dan sekarang
dikenali sebagai jadual spesifikasi
ujian (JSU), adalah satu senarai objektif pengajaran dan aras pemahaman yang
hendak diuji dan menjadi satu panduan untuk menghasilkan satu set soalan yang
mempunyai item-item soalan. Tujuan utama pembinaan JSU untuk mengawal soalan-soalan yang akan
dihasilkan, menentukan kesahan dan
kebolehpercayaan ujian, menjadi garis panduan kepada penggubal soalan,
menstabilkan aras kesukaran yang ditentukan oleh pihak bertanggungjawab, dan
membolehkan perbandingan dibuat antara satu ujian dengan ujian yang lain.
Ciri-ciri utama
JSU ialah penentuan tajuk, aras kemahiran yang hendak diuji, paksi
menegak adalah tajuk atau isi pengajaran, paksi mendatar adalah kemahiran
atau konstruk, bilangan soalan, dan menetukan kesahan setiap ujian. Prosedur
pembinaan JSU iaitu bermula dengan langkah pertama iaitu memilih hasil
pembelajaran yang hendak diuji, menyenaraikan isi atau tajuk-tajuk, dan
membina carta menegak dan melintang.
Rumusan, tugasan dan refleksi :
Guru merumuskan hasil pembelajaran yang telah
dikembangkan melalui pelbagai kaedah yang menarik, bukan sekadar guru
menggambarkan sepintas lalu isi kandungan, tetapi guru boleh menggerakkan murid memberi
rumusan berdasar pengalaman pembelajaran tersebut, rumusan juga boleh
dipindah dalam pelbagai bentuk seperti susunan dalam bait-bait puisi, sajak,
pantun, soal jawab dan main peranan.
Tugasan yang disediakan kepada murid adalah untuk
pemulihan dan pengukuhan, bergantung kepada pencapaian hasil pembelajaran,
tugasan boleh dijelmakan dalam bentuk pemantapan isi seperti meminta murid
menyedia peta minda lengkap, menjawab soalan-soalan yang diberi atau untuk
tujuan pengukuhan seperti membuat rujukan di perpustakaan, menyediakan folio,
atau buku skrap, membuat kajian-kajian luaran, menulis dalam bentuk karangan
dan sebagainya.
Guru perlu mencatatkan kemajuan dan kelemahan
yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran tersebut dan mencari
peluang-peluang bagi pengubahsuaian serta mengemuka pandangan atau
cadangan bagi menyelesaikan beberapa
masaalah pembelajaran supaya pengajaran dan pembelajaran berikut dapat
dilaksakan dengan lebih sempurna dan terdapat penambahbaikan.
Penutup
Guru yang berkualiti mempunyai wawasan yang
jelas, daya kreativiti, serta peka
terhadap segala perubahan yang dikehendaki oleh pengurusan atasan
supaya tidak berlaku pembaziran waktu disebabkan berbagai pemantauan yang
penyeliaan yang terpaksa dijalankan.
Guru yang berwibawa sentiasa memikir kaedah bagi
mencapai pengurusan yang cemerlang, di antara perkara yang menjadi fokus
ialah mengetahui dan memahami bidang kerjayanya, menghayati hasil kerja atau
objektif kerja untuk jangka panjang dan jangka pendek, kerja yang dilakukan
lebih spesifik, boleh diukur pencapaiannya, boleh dicapai, realistik, dan
bijak dalam pengurusan masa.
Perancangan yang rapi bagi memastikan
objektif-objektif tercapai, meletakkan keutamaan dalam tugasan. Keupayaan,
kemahiran melaksanakan tugas, kemahiran berfikir, kemahiran berintrkasi, dan
berkomunikasi, kemahiran mengurus dan mentadbir, dan kemahiran mengaplikasi
peralatan yang terkini seperti komputer, kecekapan menjalankan tugasan yang
diamanahkan di samping memiliki wawasan yang jelas. Kemampuan membuat
pemantauan atau refelkesi di atas kerja-kerja yang telah dilakukan untuk
tujuan penambahbaikan, di samping memiliki sahsiah sebagai seorang guru yang
boleh mempamerkan teladan yang baik kepada semua orang serta mematuhi tonggak
dua belas, nilai dan etika dalam perkhidmatan awam serta etika kerja dalam
Islam.
Guru yang berwawasan bertindak sebagai mualim,
muaddib, murabbi, mursyid, dan dalam masa yang sama sebagai fasilitator,
pembimbing dan kaunselor yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan
perhatian dengan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas. Sabda Rasulullah SAW
bermaksud, ‘sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan pekerjaan
dengan tekun’. (Riwayat Baihaqi). Guru adalah segala-galanya.
Pengurusan bilik darjah yang dinamik bergantung
kepada kebijaksanaan guru memainkan peranan sebaik mungkin bagi menghasil
bilik darjah harmonis, kondusif dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran
yang memberansangkan serta mencapai objektif.
|
No comments:
Post a Comment